PRU15: Mampukah Bersatu saingi UMNO? - Penganalisis
Hasimi Muhamad
Oktober 3, 2021 17:10 MYT
Oktober 3, 2021 17:10 MYT
KUALA LUMPUR: "Mampukah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyaingi UMNO?".
Itu persoalan yang dibangkitkan oleh Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berhubung perebutan kerusi di kawasan majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Jelas Mujibu, jika dibandingkan secara relatif antara UMNO dan Bersatu termasuk ketika Pilihan Raya Kecil (PRK), banyak lagi persiapan yang perlu dilakukan parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu untuk menyaingi UMNO.
"Sudah tentu kita akan melihat pertembungan Bersatu dan UMNO... akan menjadikan pertandingan beberapa penjuru di kawasan-kawasan pengundi yang majoriti Melayu.
"Kita tengok apa yang berlaku di (PRK) Semenyih atau Tanjung Piai (pertembungan Bersatu dan UMNO). Ini barangkali satu perkara yang boleh difikirkan kerana persaingan beberapa penjuru itu dalam konteks pilihan raya, adalah satu perkara yang normal.
"Tetapi yang perlu diperhatikan adalah bagaimana sebuah parti itu harus dibandingkan secara relatifnya (dari segi) kekuatan, kelebihan, dan juga kelemahan mereka dalam pertandingan (pilihan raya) itu," katanya kepada Astro AWANI, pada Ahad.
Mujibu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan Bersatu untuk bertembung dengan UMNO pada PRU15, memandangkan UMNO membuat keputusan untuk tidak mahu bersama-sama parti itu sebagai gabungan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.
Mengulas lanjut, Mujibu turut menimbulkan persoalan sama ada PN masih wujud ketika PRU15 berlangsung.
Ini kerana, katanya ketegasan yang ditunjukkan oleh UMNO untuk tidak bersama-sama dengan gabungan itu akan menimbulkan polemik.
Jelas beliau lagi, Pas juga ketika ini masih belum menyatakan pendirian yang jelas sama ada akan meneruskan kerjasama dalam PN ataupun Muafakat Nasional (MN).
"Ini kerana kalau kita ambil contoh apa yang berlaku di Terengganu, Kedah atau Kelantan, Pas juga tidak menunjukkan setia kawan yang jelas kepada UMNO... atau UMNO dan Bersatu di Kedah.
"Kalau kita tengok mereka ini masih dominan dalam pentadbiran negeri. Jadi, inilah barangkali politik yang berlaku dalam kerjasama ini, tetapi persoalan pokoknya sudah tentu kita melihat bagaimana kemampuan PN yang diterajui oleh Bersatu dalam menyaingi UMNO dalam konteks satu lawan satu untuk merebut undi-undi orang Melayu," jelas beliau.
Mujibu juga berpandangan, pertembungan yang dihadapi UMNO dan Bersatu kemungkinan tidak menganggu gugat kekuatan Pas di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.
Bagaimanapun, beliau berkata, dalam situasi sekarang Pas perlu memainkan peranan sebagai orang tengah dalam menyatukan UMNO dan Bersatu berbanding membiarkan kedua-dua parti itu bertelagah.
"Pecahan undi itu juga sebenarnya akan memberikan peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk kembali menangguk di air keruh dan memperolehi kemenangan luar jangka bagi sesuatu kerusi yang cenderung kepada parti Islam, UMNO atau Bersatu dalam konteks Melayu-Islam.
"Itulah yang sepatutnya dimainkan oleh Pas kerana dalam keadaan politik sekarang, kita sudah tidak memliki satu dinamika politik, di mana parti-parti politik itu benar-benar boleh menguasai pilihan raya dan membentuk kerajaan secara pakatan bersama ataupun secara solo tanpa ada satu pakatan strategik.
"Ini kerana, kerjasama UMNO dan Bersatu itu, barangkali lebih baik sebenarnya untuk mereka berbanding bertembung sendiri pada pilihan raya," katanya.