PRU15: Malaysia perlukan pemimpin punyai imej bersih - Mohamed Tawfik
Astro Awani
Oktober 17, 2022 23:11 MYT
Oktober 17, 2022 23:11 MYT
KUALA LUMPUR: Anak mantan Timbalan Perdana Menteri pada era Tun Abdul Razak, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail, menjelaskan beliau memilih bertanding di Bagan Datuk kerana mahu menghantar mesej kepada rakyat bahawa masa depan negara bergantung kepada imej pemimpin yang bersih.
Mohamed Tawfik yang juga pengasas Gerak Independent, berkata beliau memilih bertanding di kawasan majoriti Melayu itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana ia merupakan tempat orang Melayu terkesan dengan berbagai masalah.
Katanya, beliau akan menawarkan penyelesaian kepada masalah tersebut.
Biarpun menyedari calon yang akan ditandingi iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bukan calang-calang orang, namun Mohamed Tawfik berpendapat menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan lawannya itu tewas.
Beliau menjelaskan, setiap pengundi perlu menyedari kepentingan menjaga imej negara dan diri sendiri dengan menolak calon-calon yang dikaitkan dengan rasuah.
"Masalahnya ialah, rasuah telah menjadi sesuatu seperti budaya dan saya fikir ia telah menjadi sesuatu yang telah sebati dalam minda rakyat yang berada di negara ini.
"Saya fikir kita perlu menepis persepsi dan juga sikap itu kerana rasuah dalam apa jua bentuk adalah tidak baik untuk individu dan juga negara," katanya dalam satu temu bual bersama Penasihat Akhbar The Star Datuk Seri Wong Chun Wai.
Mohamed Tawfik sebelum ini mengesahkan yang beliau akan bertanding menentang Ahmad Zahid di kerusi Parlimen Bagan Datuk dalam PRU15 ini.
Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut, Johor di bawah Barisan Nasional (BN) pada tahun 80-an.
Menurut Mohamed Tawfik, beliau menawarkan diri dengan tema 'Rakyat lawan Rasuah'.