PRU15: Malam ini GPS bermesyuarat
Rudi Affendi Khalik
September 13, 2022 16:04 MYT
September 13, 2022 16:04 MYT
KUCHING: Pimpinan Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadakan mesyuarat pada malam ini, dipercayai sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Satu edaran kepada media sekitar jam 12.30 tengah hari tadi, memaklumkan bahawa mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mesyuarat akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching sekitar jam 8.00 malam dan dihadiri oleh pemimpin tertinggi empat parti komponen GPS iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Sarawak (PRS); Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Meskipun ia dikatakan hanya mesyuarat rutin, namun menurut sumber parti, mesyuarat kali ini memberi fokus kepada persediaan GPS untuk menghadapi PRU15.
“ Tentu sekali ia akan membincangkan persediaan akhir jentera PRU15 serta memperolehi maklum balas terkini situasi politik nasional serta mendapat laporan akhir akan sentimen di lapangan.
GPS adalah salah satu gabungan parti yang menganggotai kerajaan pusat namun tidak terlibat dalam sebarang khemah besar yang terbentuk di Semenanjung Malaysia.
Ketika ini, ia menguasai 19 daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak, dengan yang terkini, Datuk Willie Mongin di Parlimen Puncak Borneo telah diterima masuk menyertai PBB pada Ogos lalu.
GPS bagaimanapun kehilangan satu kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU14, apabila Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat mengumumkan keluar daripada PRS untuk menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB), sebelum akhirnya menjadi ahli parlimen bebas.
Sebelum ini, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS telah membayangkan beberapa muka lama dalam parti itu, terutamanya daripada PBB telah menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi masing-masing bagi membuka laluan kepada muka baharu.
Sebaliknya, di pihak SUPP, Presidennya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian telah membayangkan bahawa ahli Parlimen tunggalnya, Datuk Seri Richard Riot Jaem,71 yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur akan kembali mempertahankan kerusinya.
Richard yang juga Timbalan Presiden SUPP memenangi kerusi tersebut untuk kali ketujuh pada 2018 dengan memperoleh 17,545 undi menewaskan calon DAP, Edward Andrew Luak dan calon bebas, Senior William Rade dengan majoriti 9,905 undi.
Menurut sumber itu lagi, senarai akhir calon GPS tidak akan dibincangkan secara terbuka dalam mesyuarat ini, sebaliknya akan dirundingi secara empat mata oleh Abang Johari dan presiden parti komponen.