PRU15: Majoriti rakyat dapat maklumat politik dari internet - Ilham Centre

Astro Awani
Oktober 30, 2022 07:00 MYT
24.5 peratus mendapat maklumat dari Facebook, 4.3 peratus dari Twitter, 3.8 peratus menerusi perkongsian di aplikasi WhatsApp dan 1.8 peratus menerusi Instagram. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Majoriti pengundi mendapat info perkembangan semasa dan berita-berita politik daripada portal-portal berita dan media sosial.
Kaji selidik yang dilakukan Ilham Centre mendapati 28 peratus respoden mendapat maklumat dan berita politik dari portal-portal berita.
24.5 peratus mendapat maklumat dari Facebook, 4.3 peratus dari Twitter, 3.8 peratus menerusi perkongsian di aplikasi WhatsApp dan 1.8 peratus menerusi Instagram.
Sebanyak 31.1 peratus mendapat info perkembangan semasa dan berita-berita politik dari media konvensional seperti televisyen dan surat khabar dengan 26.8 peratus televisyen dan 4.3 peratus dari surat khabar.
Terdapat 6.6 peratus mendapat maklumat dari sumber lain iaitu 3.5 peratus dari ahli keluarga dan 3.1 peratus lagi menerusi rakan-rakan.
Dapatan ini menunjukkan parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh menggunakan media maya untuk membuat tawaran kepada pengundi selain kempen bersemuka sedia ada.
PRU15 bakal menyaksikan perang media sosial yang hangat.
Ini merupakan dapatan tinjauan awam oleh lima agensi media utama Astro AWANI, Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star & Malaysian Nanban.
Dilaksanakan oleh tiga badan penyelidik, Ilham Centre, O2 Malaysia dan Huayan Policy Institute serta Centre for Malaysian Chinese Studies.
#ILHAM Centre #PRU15 #kaji selidik #Malaysia Memilih
;