PRU15: Majikan swasta digesa beri pelepasan cuti am pada Jumaat, Sabtu ini

Astro Awani
November 16, 2022 12:43 MYT
Datuk Seri M. Saravanan menggesa pihak majikan sektor swasta mempertimbangkan pelepasan cuti am pada Jumaat dan Sabtu ini bagi memberi peluang kepada pekerja menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menggesa majikan sektor swasta mempertimbangkan pelepasan cuti am pada Jumaat dan Sabtu ini bagi memberi peluang kepada pekerja menunaikan tanggungjawab mengundi.
Beliau berkata, ia bagi memenuhi tujuan pemberian hari kelepasan itu oleh kerajaan Persekutuan dalam menggalakkan rakyat Malaysia keluar mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
Katanya, cuti umum itu diisytiharkan di bawah Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang merupakan cuti am diperuntukkan kepada pekerja di sektor swasta menurut Seksyen 60D(1)(b) Akta Kerja 1955.
"Menurut peruntukan ini, majikan boleh menggantikan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Saravanan berkata, majikan dikehendaki memaklumkan kepada pekerja sama ada memilih tarikh pada 18 dan 19 Nov sebagai hari cuti am atau menggantikannya dengan tarikh-tarikh lain.
Beliau berkata, sekiranya tiada penggantian, pekerja yang bekerja pada tarikh berkenaan layak menerima kadar gaji bagi cuti am.
Kerajaan mengumumkan cuti umum di seluruh negara pada Jumaat dan Sabtu ini untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi, manakala negeri yang menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan maka Ahad, 20 Nov ditetapkan sebagai hari kelepasan tambahan.
Sementara itu ketika berada di Tapah, Saravanan berkata, majikan swasta yang tidak dapat memberi pelepasan cuti am pada hari pengundian disaran mengadakan sistem penggiliran kepada pekerja untuk membolehkan mereka keluar mengundi.
“Tidak kira sektor peruncitan atau seumpamanya, (majikan diminta agar pekerja mereka) ambil giliran (untuk mengundi). Jika pengoperasian mereka tidak boleh dihentikan, buat secara berperingkat (pergiliran pekerja keluar mengundi).
“Di samping itu juga saya harap semua jentera pilihan raya tidak kira daripada mana-mana parti dapat menyediakan kemudahan seperti kenderaan kepada pekerja ini untuk pergi ke pusat-pusat mengundi pada Sabtu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Latihan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di Tapah pada Rabu.
#PRU15 #cuti umum PRU15 #tol percuma PRU15 #majikan swasta
;