PRU15: Mahkamah batal kemenangan Pas di Kuala Terengganu
Bernama
Jun 27, 2023 18:26 MYT
Jun 27, 2023 18:26 MYT
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril berkata pihak pempetisyen, iaitu calon BN Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Beliau berkata walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, bukti-bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan pilihan raya di Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar RM50,000 kepada pempestiyen dan membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan Amzad membuat rayuan serta memfailkan permohonan rasmi penggantungan beliau sebagai Ahli Parlimen.
Amzad diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud manakala Mohd Zubir diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Pada 3 Jan lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov lepas, iaitu beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Pada PRU15, Amzad memenangi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.
Sementara itu, Wan Rohimi berkata pihaknya akan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan secepat mungkin selepas Aidiladha.
Beliau berkata pihaknya juga akan membuat permohonan rasmi untuk menggantung keputusan mahkamah supaya Pilihan Raya Umum tidak diadakan sehingga rayuan diputuskan oleh mahkamah dalam tempoh enam bulan.