PRU15: Mahdzir Khalid optimis ayunan 'pendulum' rakyat Kedah akan beralih kepada BN

Israr Khalid
Oktober 19, 2022 06:30 MYT
Rakyat Kedah hanya ada dua pilihan tradisi, BN atau Pas dan ketika ini angin akan bertuip ke atas mereka. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin bahawa ada kemahuan baharu dalam kalangan pengundi di Kedah untuk beralih angin kepada Barisan Nasional (BN).
Katanya, ia berdasarkan trend sikap pengundi Kedah yang secara tradisinya akan memilih antara dua parti dominan di negeri itu, iaitu BN atau Pas.
Sejak merdeka, BN mentadbir Kedah sehinggalah berlaku pergolakan politik pada 1999 yang menyaksikan tampuk kepimpinan beralih kepada Pas dan ia saling bertukar tangan sejak itu.
“Kemudian datang 2004, BN bawah pimpinan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) datang dan ambil balik (penguasaan kerajaan negeri Kedah).
“2008 pula, Tun Daim antara orang yang awal meramalkan beberapa negeri akan kalah termasuk Kedah dan Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak menjadi Menteri Besar.
“2013 dia pusing balik dan 2018 tempoh hari adalah waktu gelombang besar lah dengan macam-macam hal yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengetuai sebelah sana, jadi BN kalah.”
Maka kali ini beliau yakin ‘ayunan’ itu akan kembali kepada BN di mana beliau merasakan rakyat mahu lihat semula apa yang boleh dibawakan oleh BN andai kembali menjadi kerajaan negeri.
“Kita nampak ada riak pada ‘pendulum’ itu, sebab waktu 2018 itu ayunannya ke sebelah kiri terlalu kuat, ia pergi semua sekali termasuk penyokong UMNO-BN sendiri pun pergi.
“Tapi ‘pendulum’ itu sudah kembali ke tengah dan ia macam nak datang balik (kepada BN),” katanya dalam program Agenda AWANI bersama hos Nazri Kahar pada Rabu.
PRU15: Mahdzir Khalid optimis trend pengundi Kedah memihak BN
#Malaysia Memilih #PRU15 #BN #PAS
;