PRU15: Lulus akta antilompat parti sebelum bubar DUN Perak - DAP
Amirrul Rabbani
Oktober 12, 2022 11:45 MYT
Oktober 12, 2022 11:45 MYT
IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji Chong Zhemin meminta Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad supaya tidak bertindak terburu-buru membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebaliknya, kata wakil rakyat DAP itu, akta antilompat parti harus dibentangkan terlebih dahulu dan diluluskan sebelum pembubaran DUN Perak.
Ia katanya, bagi mengelakkan peristiwa ‘pengkhianatan’ ekoran ADUN bertukar parti, kembali berulang pada masa hadapan.
“Kerajaan Negeri Perak yang sah telah dijatuhkan dua kali dalam 11 tahun oleh pengkhianatan dan ADUN melompat parti.
“Kali pertama pada 2009, di mana tiga ADUN Pakatan Rakyat (PR) keluar dari parti masing-masing menjadi ADUN Bebas dan menyokong Barisan Nasional untuk menjatuhkan Kerajaan PR.
“Pengkhianatan kedua berlaku pada 2020, di mana beberapa orang ADUN mengalih sokongan dan menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan tumbang.
“Oleh itu, Negeri Perak wajib meluluskan akta antilompat parti sebelum DUN Perak dibubarkan, untuk mengelakkan peristiwa pahit ini berulang lagi,” kata Chong dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan, Saarani akan menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah petang ini bagi memohon perkenan membubarkan DUN.
Dalam pada itu, Chong berkata, Perak boleh mengambil contoh DUN Perlis yang dilaporkan akan dibubar selepas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti pada sidang DUN esok.
Justeru, katanya, Saarani boleh memanggil sidang DUN tergempar tanpa sebarang notis berdasarkan kepada Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Perkara 8.
“Saarani boleh memanggil satu sidang DUN tergempar untuk membentangkan akta antilompat parti, membahaskannya dan meluluskan penggubalan perlembagaan negeri dalam sehari.
“Ia selaras dengan penggubalan Perlembagaan Persekutuan Akta Antilompat Parti.
“Saya yakin penggubalan perlembagaan negeri melalui akta antilompat parti ini boleh mendapat sokongan lebih dua pertiga ADUN Perak,” ujarnya lagi.