PRU15: 'Lost in Tambun', perkataan 'Never' di poster Peja disembur cat hitam

Ridauddin Daud
November 16, 2022 18:56 MYT
Melihat kepada papan iklan itu yang berwarna hitam dan tulisan "Never" yang juga dicat hitam, ia kemudian seolah memaparkan gambar Ahmad Faizal dengan tulisan "Lost In Tambun" di sebelah beliau. - Astro AWANI
TAMBUN: Perang poster melibatkan calon-calon di kerusi Parlimen Tambun kian 'panas'.
Manakan tidak, terbaharu, Astro AWANI mendapati terdapat satu papan iklan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang tertulis "Never Lost In Tambun" dirosakkan dengan cat berwarna hitam.
Melihat kepada papan iklan itu yang berwarna hitam dan tulisan "Never" yang juga dicat hitam, ia kemudian seolah memaparkan gambar Ahmad Faizal dengan tulisan "Lost In Tambun" di sebelah beliau.
Papan iklan tersebut ditemui betul-betul berhampiran lokasi yang sinonim dengan perkataan yang tertera di binaan tersebut iaitu Lost World of Tambun.
Hampir menuju 19 November, perebutan kerusi Parlimen Tambun dilihat semakin panas dengan Ahmad Faizal dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat bersaing hebat untuk kerusi tersebut.
Dua calon lain iaitu Datuk Aminuddin Md Hanafiah dari Barisan Nasional (BN) dan Abdul Rahim Tahir dari Pejuang turut sama mengintai peluang untuk memenangi kerusi berkenaan.
Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Ahmad Faizal atas tiket Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR, menewaskan calon BN dan PAS selepas beliau memperoleh 38,661 undi dan menang dengan majoriti 5,320 undi.
Begitupun, saingan pada PRU15 dilihat jauh berbeza apabila kerusi itu ditandingi Anwar yang juga merupakan Ketua Pembangkang dan dilabel sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia.
Tambun mempunyai 160,558 pengundi pada PRU kali ini, meningkat 30 peratus berbanding 107,763 pada PRU14.
#PRU15 #kerusi Parlimen Tambun #Ahmad Faizal Azumu #never lost in tambun
;