PRU15: Larry Sng umum pertahan Julau
Shafik Ahmad
Oktober 19, 2022 18:58 MYT
Oktober 19, 2022 18:58 MYT
KUCHING: Di sebalik desas-desus tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bekas Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng Wei Shein hari ini mengumumkan akan mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2018.
Dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, Larry menyatakan akan berdiri sebagai calon di Parlimen Julau.
“Saya tetap akan berdiri (bertanding) kali ini dan akan meneruskan menolong rakyat di kawasan Julau.
“Saya sekarang merupakan penduduk dan pengundi di Julau,” tulisnya menggunakan bahasa Iban hari ini.
Pada PRU14, Larry bertanding sebagai calon Bebas dan menang dengan majoriti 1,931 undi selepas meraih 10,105 undian menewaskan calon Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum (8,174) yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) ketika itu.
Beliau kemudian menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum dilantik menjadi Pengerusi PKR negeri menggantikan Baru Bian yang meninggalkan parti itu pada 2020.
Anak kelahiran Kapit itu melepaskan jawatan berkenaan sekali gus mengumumkan keluar parti dan menubuhkan PBM serta bertindak selaku presiden.
Beliau bagaimanapun menyerahkan jawatan berkenaan secara rasmi kepada penggantinya Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin pada 8 Oktober lepas.