PRU15: Larangan telefon bimbit, Tun Mahathir ucap terima kasih kepada SPR

Sinar Harian
November 10, 2022 14:23 MYT
Tun Mahathir sebelum ini meminta pertimbangan suruhanjaya tersebut untuk tidak membenarkan pengundi membawa telefon bimbit ketika membuang undi. - Fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Pengerusi Penaja Parti Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad merakamkan ucapan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana bersetuju dengan cadangannya supaya tidak membenarkan penggunaan telefon bimbit dalam tempat mengundi pada 19 November ini.
Jelas bekas Perdana Menteri itu, langkah tersebut juga secara tidak langsung dapat mengelak sebarang perbuatan yang boleh menjurus kepada rasuah.
"Saya ucap terima kasih kepada SPR kerana terima cadangan larang bawa telefon bimbit semasa mengundi.
"Ini satu cara elak parti menyogok selepas buang undi dan pertahan prinsip undi adalah rahsia," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis.
PRU15 | SPR larang guna telefon bimbit ketika mengundi
Calon Parlimen Langkawi itu sebelum ini meminta pertimbangan suruhanjaya tersebut untuk tidak membenarkan pengundi membawa telefon bimbit ketika membuang undi.
Pada Rabu, SPR memaklumkan pengundi tidak dibenarkan untuk menggunakan telefon bimbit ketika membuang undi di tempat mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Satu infografik yang dimuat naik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di platform sosial mereka pada Rabu memasukkan perkara tersebut dalam 10 langkah pengundian perlu dipatuhi oleh pengundi ketika mengundi pada 19 November ini. -- Sinar Harian
#PRU15 #Dr Mahathir #larangan telefon bimbit #SPR
;