PRU15: Laporan Ahmad Zahid tidak bertanding adalah tidak benar
Afiezy Azaman
Oktober 21, 2022 11:21 MYT
Oktober 21, 2022 11:21 MYT
KUALA LUMPUR: Dakwaan mengenai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini adalah tidak benar.
Menurut sumber yang rapat dengan Presiden UMNO itu, laporan oleh sebuah akhbar tempatan itu adalah fitnah dan tidak sahih.
"Saya menerima beberapa panggilan berhubung dakwaan Ahmad Zahid akan diganti oleh sama ada anaknya, Nurul Hidayah atau pun orang kanan beliau sendiri, namun perkara berkenaan tidak benar," katanya kepada Astro AWANI, pada Jumaat.
Ditanya sekiranya Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) tetap akan bertanding untuk PRU15, sumber itu bagaimanapun tidak mendedahkannya.
"Saya tidak boleh beritahu sama ada Ahmad Zahid akan bertanding atau tidak, tetapi laporan berita oleh akhbar tempatan itu adalah tidak benar," ujarnya.
Pada Jumaat, sebuah akhbar tempatan melaporkan Ahmad Zahid tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam PRU15.
Akhbar itu menyatakan tempat beliau akan diganti oleh sama ada anaknya, Nurul Hidayah atau pun orang kanan beliau sendiri.
Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan ketika dihubungi turut menafikan laporan itu dan menganggap ia hanya sekadar propaganda pihak tertentu untuk menjatuhkan kredibiliti Ahmad Zahid.
“Tiada, tiada, tiada. Itu hanya propaganda. Tiada sebarang kenyataan rasmi dari Presiden,” katanya lagi.
Seorang sumber yang rapat dengan kepimpinan UMNO memberitahu Astro AWANI, bahawa laporan itu sekadar agenda ‘nakal’ untuk memeriahkan suasana PRU15.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan itu adalah agenda Pembangkang kerana mereka sedia maklum bahawa Ahmad Zahid mempunyai strategi yang cukup ‘ampuh’ untuk memenangkan BN kali ini.
“Mereka telah berjaya memenjarakan Najib dan dgn cubaan mengatakan Zahid tidak bertanding adalah untuk melemahkan semangat serta strategi UMNO.
“PRU15 kali ini tanpa Najib dan Ahmad Zahid harus menjadi kepala perang untuk memastikan BN menang di PRU15,” katanya lagi.
Sumber itu berkata, Ahmad Zahid perlu bertanding bukan semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi bagi memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus kekal memegang jawatan itu, sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan kelak.
Sementara itu, Pengarah Media Pejabat Presiden UMNO Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican menganggap laporan itu sebagai fitnah dan sebarang kenyataan Presiden parti mesti melalui media rasmi UMNO atau BNCOMMS.