PRU15: Kurang 24 jam hari penamaan, calon BN di Tanjung Karang masih jadi tanda tanya
Astro Awani
November 4, 2022 16:13 MYT
November 4, 2022 16:13 MYT
KUALA LUMPUR: Kurang 24 jam menjelang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen P.095 Tanjung Karang masih menjadi tanda tanya.
Ini kerana watikah untuk Datuk Habibah Mohd Yusof yang telah dinamakan sebagai calon BN dikerusi Parlimen Tanjung Karang masih tidak diserahkan.
Pada majlis penyerahan watikah calon BN Selangor pada Khamis, Pengerusi BN negeri tersebut Tan Sri Noh Omar memaklumkan tidak menerima watikah untuk diserahkan kepada Habibah.
Noh mendakwa, sebelum pengumuman calon BN bagi PRU15 pada Selasa lepas, beliau telah berbincang dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selain membawa usul serta memorandum daripada UMNO bahagian dan cawangan Tanjung Karang yang mahu dirinya dikekalkan sebagai calon.
Noh menjadi Ahli Parlimen Tanjung Karang selama enam penggal bermula PRU9 pada 1995.
Perikatan Nasional (PN) menamakan Datuk Zulkafperi Hanapi sebagai calon di Tanjung Karang manakala Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Siti Rahaya Baharin dari Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai calon.