PRU15: But kuning 'Phua Chu Kang' calon bebas di Sungai Buloh curi perhatian
Rahimah Abdullah
November 5, 2022 14:47 MYT
November 5, 2022 14:47 MYT
SUNGAI BULOH: Calon bebas di Sungai Buloh, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff menarik perhatian ramai apabila hadir ke pusat penamaan calon dengan berbut kuning seperti watak Phua Chu Kang.
Namun, bukan saja-saja dia memakai but kuning itu.
Kata Syed Abdul Razak, ia sebagai gimik manifestonya untuk menangani banjir di Sungai Buloh, yang juga tempat kelahirannya.
“Saya mahu bantu rakyat di sini. Saya juga merasakan inilah masanya calon bebas boleh menang kali ini selepas langkah Sheraton,” katanya kepada media selepas selesai proses penamaan calon Sungai Buloh di Dewan Kenangan, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling di sini pada Sabtu.
Malah katanya, calon bebas juga tidak seharusnya dipandang sebelah mata.
Ia berikutan ada pengundi yang sudah muak dengan parti sedia ada, dan akan memberi undi kepada calon bebas.
“Mereka ini kerajaan yang tebuk atap, jadi perlu kita tinggalkan nanti kesemua parti bawah kerajaan tebuk atap. Jadi kalau saya sebut semua parti yang ada ini, terus tempias. Saya pun angkatlah (kasut but kuning),” katanya.
Malah, beliau juga mahukan pemimpin yang bersih daripada korupsi dan pencalonannya sebagai wakil rakyat Sungai Buloh tepat pada waktunya.
Malah, jika dipilih menjadi wakil rakyat Sungai Buloh, beliau juga berhasrat untuk melancarkan Tabung Kebajikan untuk rakyat Sungai Buloh.
Kerusi Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).