PRU15: 'Kita tidak boleh paksa kalau Warisan tidak mahu bekerjasama' - DAP Sabah

Assim Hassan
Oktober 14, 2022 18:37 MYT
Pakatan Harapan Sabah berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan agihan kerusi melibatkan komponen itu.
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan Sabah berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan agihan kerusi melibatkan komponen itu.
Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, setakat ini ada beberapa perkara yang sedang diperhalusi sebelum calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) diumumkan.
Beliau memaklumkan, DAP secara peribadi akan bertanding lebih daripada tiga kerusi sekali gus mengekalkan tiga kerusi tradisi parti itu.
Ia adalah kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom.
"Kita sudang berbincang dan selesai secara amnya. Tetapi ada sedikit yang perlu kita muktamadkan dan perhalusi sebelum kita membuat pengumuman," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sambil meminta semua pihak bersabar sebelum PH Sabah akan mengumumkan calon, Frankie yang juga ADUN Tanjong Papat berkata, pengumuman calon DAP akan diumumkan serentak dengan calon PKR dan Amanah.
Dalam perkembangan sama, PH Sabah masih terbuka untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain seperti Parti Warisan.
Bagaimanapun, ujar beliau, perkara itu tidak boleh dipaksa dan optimis kerjasama itu tidak akan berhasil memandangkan Warisan mengumumkan bertanding solo di Sabah dengan meletakkan 25 calon parti tersebut. pada PRU15.
"Kita mahu bekerjasama demi Sabah dan masa depan Malaysia tetapi kita tidak boleh memaksa orang untuk bekerja dengan kita kalau mereka tidak mahu.
"Bagaimana mahu 'berkahwin' kalau orang itu tidak mahu bersama atau kahwin. Oleh itu kita bersedia dengan PRU15 dan melakukan yang terbaik seperti kehendak rakyat," katanya.
Pada PRU14, DAP menang tiga kerusi masing-masing di Parlimen Kota Kinabalu, Tenom dan Sandakan.
Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dua kerusi masing-masing di Parlimen Putatan dan Tawau.
#DAP Sabah #Pakatan Harapan Sabah #Frankie Poon #Politik Sabah #Malaysia Memilih #PRU15
;