PRU15: Khalid 'berkorban' tinggalkan Shah Alam, bakal bertanding di Titiwangsa
Firdaus Azil
Oktober 23, 2022 15:35 MYT
Oktober 23, 2022 15:35 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) akan mempertaruhkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad untuk kerusi P119 Titiwangsa, sekali gus menjadikan ia antara kerusi yang menarik untuk diperhatikan.
Pengarah Pilihan Raya Amanah, Datuk Asmuni Awi dalam satu kenyataan berkata, pencalonan itu merupakan satu pengorbanan yang luar biasa, kerana Khalid akan meninggalkan Parlimen Shah Alam, yang disandangnya sejak tiga penggal.
Katanya lagi, keputusan itu juga merupakan satu langkah berisiko tinggi, tetapi mengambil aspirasi dari Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang bersedia untuk meninggalkan ‘zon selesa’.
“Keputusan Amanah mencalonkan Khalid Abd Samad di Parlimen Titiwangsa juga merupakan pengorbanan yang luar biasa. Meninggalkan Shah Alam bukan keputusan mudah.
“Parlimen (Shah Alam) ini telah dikuasainya selama tiga penggal dan pada PRU lalu, Khalid memperoleh majoriti 33,849 menunjukkan kepimpinannya diterima semua pihak,” katanya lagi.
Pada pilihan raya umum yang lepas, Pakatan Harapan berjaya merampas kerusi itu dari UMNO, apabila calon mereka, Datuk Rina Harun menewaskan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Mohamad Noor Mohd dengan majoriti 4,139 undi.
Rina yang ketika itu mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia di bawah bendera Parti Keadilan Rakyat, berjaya memperoleh 23,840 undi. Namun parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bertindak keluar dari PH dan membentuk kerajaan gabungan dengan Barisan Nasional pada 2020.
Difahamkan, Johari, akan kembali di Titiwangsa dalam misi merampas kembali kerusi tersebut dari tangan Pakatan Harapan.
Beberapa pemerhati politik merasakan pertembungan di Titiwangsa tidak kurang menariknya, memandangkan Khalid dan Johari mempunyai pengalaman yang sama luas dalam menangani isu penduduk setempat, khususnya tentang pembangunan Kampong Bharu.
Untuk rekod, Johari terlibat secara langsung dalam pembangunan kawasan tersebut, sewaktu beliau menjadi pengerusi Uda Holdings, manakala Khalid pula pernah terlibat secara langsung dalam rundingan tentang isu pemilikan dan penjualan tanah dengan penduduk Kampong Bharu.
“Titiwangsa bakal menjadi percaturan sengit kepada Khalid. Beliau akan mempertaruhkan rekod cemerlangnya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan untuk memastikan Titiwangsa kekal sebagai Wilayah Harapan.
“Banyak lagi percaturan berisiko tetapi berstrategi tinggi akan diambil oleh Harapan untuk memastikan pengundi seluruh negara turun mengundi pada 19 November dengan keyakinan dan doa untuk membentuk sebuah kerajaan persekutuan baharu,” katanya lagi.
Asmuni berkata, PH akan terus menjadikan penghapusan rasuah sebagai tekad utama, selain penyediaan peluang pekerjaan bermutu dan terjamin kepada anak tempatan serta pemulihan imej negara melalui kestabilan politik dan ekonomi yang kukuh.