PRU15: Khaled Nordin menang di Kota Tinggi, Azalina kekal pertahan Pengerang

Hilmi Malik
November 19, 2022 22:51 MYT
Khaled memperoleh majoriti sebanyak 8,390 manakala Azalina memperoleh majoriti sejumlah 5,010 undi.
JOHOR BAHRU: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menang di Parlimen Kota Tinggi dengan memperoleh 25,410 undian menewaskan dua pencabarnya dengan majoriti 8,390.
Sementara itu, dua calon lain terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Mohamad Ridhwan Rasman meraih undi sebanyak 17,020 manakala calon Pakatan Harapan (PH) Onn Jaafar memperoleh undi sebanyak 4,903.
Khaled yang juga Naib Presiden UMNO itu sebelum ini bertanding di Parlimen Pasir Gudang bagaimanapun tewas dengan calon PH, Hassan Karim pada PRU14 yang lalu.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut berjaya mempertahankan kerusi beliau di Pengerang bagi penggal kelima selepas meraih undi sebanyak 21,738.
Azalina dalam pada itu turut memperoleh majoriti undi sebanyak 5,010 menewaskan calon PN, Fairulnizar Rahmat 16,728 dan calon PH, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh 3,374 undi.
#PRU15 #Kota Tinggi #pengerang #Khaled Nordin #Azalina Othman #Barisan Nasional
;