PRU15: Khairy mampu tawan Sungai Buloh - Penganalisis politik
Faida Rahim
November 17, 2022 18:21 MYT
November 17, 2022 18:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kredibiliti dan kekuatan personaliti calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin dijangka mampu menundukkan calon dari parti lain.
Penganalisis politik Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed tidak menolak kemungkinan BN merampas kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum 15 (PRU15), Sabtu ini.
“Apabila nama Khairy Jamaluddin dicadangkan untuk bertanding di Sungai Buloh, maka percaturan telah berubah. Walaupun agak sukar untuk BN menang pada awalnya, tetapi melihat kepada prestasi dan kekuatan personaliti beliau ia sebenarnya memberi kelebihan kepada parti.
“Namun begitu, pertembungan agak sukar dan saya tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana Pakatan Harapan juga memiliki peluang tinggi berdasarkan majoriti diperoleh pada PRU14.
“Sebelum ini pengundi di kalangan Melayu urban (bandar) cenderung memilih Pakatan Harapan namun berdasarkan analisis komen diterima, ketokohan Khairy yang berani dan lantang menyanggah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai formula yang mampu menarik minat pengundi,” jelasnya dalam program Malaysia Memilih, hari ini.
Tambahnya, dengan rekod bersih dimiliki Khairy, bukan sahaja pengundi Melayu cenderung memilih beliau sebagai Ahli Parlimen, malah ia turut dilihat menjadi faktor ‘penarik’ buat masyarakat bukan Melayu.
Jelas Ahmad Marthada, amat jelas pada waktu ini rakyat mahukan perubahan ketara dari pucuk pimpinan kerajaan yang mana mereka mendambakan pemimpin berintegriti dan bersih dari sebarang kontroversi.
“Mungkin laluan sukar untuk Pakatan Harapan di Sungai Buloh untuk mendapatkan sokongan kerana pengundi melihat keupayaan calon.
“Pengundi 'Melayu urban' sebelum ini terarah kepada Pakatan Harapan tetapi melihat kepada prestasi Khairy sebagai Menteri Kesihatan tidak mustahil beliau mampu menawan kerus parlimen di situ,” katanya lagi.