PRU15: Ketua UMNO Jerantut 'susah hati', Ahmad Nazlan masih membisu

Amir Hamzah Nordin
Oktober 19, 2022 13:10 MYT
Sikap berdiam diri Datuk Ahmad Nazlan Idris (kiri) mengenai pendiriannya untuk bertanding pada PRU15 meresahkah Datuk Nazri Ngah.
JERANTUT: Penyandang kerusi Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris masih mendiamkan diri mengenai pendiriannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, beliau susah hati kerana penyandang kerusi itu tidak memberi sebarang isyarat sehingga hari ini.
Bahkan, kata Nazri, Ahmad Nazlan terus membisu selain telefon bimbitnya dimatikan serta sukar dihubungi oleh semua pihak termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Nazri yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar (N11) berkata, UMNO Jerantut masih memerlukan perkhidmatannya di Parlimen kerana pemimpin itu disifatkan paling layak meneruskan perkhidmatan untuk rakyat selepas PRU15.
"UMNO di sini menyifatkan Ahmad Nazlan seorang 'winnable candidate' mampu berhadapan dengan pembangkang, desas-desus mengatakan Pas bakal meletakkan tokoh tertinggi dalam parti tersebut bertanding di Parlimen ini.
“Penyandang Ahmad Nazlan pernah menyatakan beberapa kali tidak mahu bertanding kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang dan peringkat tertinggi UMNO Pusat dan hal tersebut sudah diuar-uarkan dalam kalangan pemerhati politik di Jerantut.
"Saya berharap Ahmad Nazlan meneruskan khidmatnya kerana di peringkat akar umbi masih memerlukannya, sebagai Ketua UMNO Bahagian Jerantut dan penyokong masih mahu beliau bertanding,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Mat Kilau, di sini hari ini.
Ahmad Nazlan sudah dua penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen setelah memenangi PRU13 dengan mengalahkan calon Pas, Dr Hamzah Jaafar dengan undi sebanyak 26,544, manakala lawannya cuma mendapat 22,012 undi membolehkan BN memperoleh majoriti 4,532.
Pada PRU14, beliau sekali lagi memenangi kerusi Parlimen dalam PRU14 dengan memperoleh 22,640 undi setelah mengalahkan calon Pas, Yohanis Ahmad (16,732 undi) dan calon PKR, Wan Mohd Shaharir Wan Adul Jalil (10,877 undi) dengan majoriti 5,908 undi.
"Berasaskan majoriti yang diperoleh dalam dua PRU lalu, dialah ‘winnable candidate’ kerana auranya masih panas dan seorang 'legend' mampu mengulangi kemenangan dengan peningkatan (majoriti) yang tinggi," jelas Nazri lagi.
* Sempena PRU15 yang bakal berlangsung, Astro AWANI mempelawa pembaca untuk menyertai kaji selidik di laman web undi.astroawani.com.
#PRU15 #Malaysia Memilih #Ahli Parlimen Jerantut #Ahmad Nazlan Idris
;