PRU15: Ketua Menteri nafi kerajaan Sabah pinggir kaum Cina

Bernama
November 17, 2022 11:56 MYT
Hajiji (empat, kiri) menyerahkan surat kuasa menjaga dan mentadbir tapak perkuburan Cina kepada Presiden Persatuan Hainan Sandakan Lim Chee Choi pada Majlis Ceramah Perdana sempena PRU15 malam tadi. --fotoBERNAMA
SANDAKAN: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menafikan dakwaan Parti Warisan (Warisan) kononnya kerajaan Sabah meminggirkan kaum Cina terutamanya dalam pentadbiran negeri itu.
Beliau berkata kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) sememangnya mahu melantik individu daripada kaum itu sebagai menteri dalam kabinet negeri, namun tiada calon kaum itu daripada parti kerajaan yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 2020.
Bagaimanapun katanya kerajaan negeri telah melantik dua bekas Ketua Menteri dalam kalangan kaum Cina memegang jawatan penting iaitu Datuk Seri Yong Teck Lee sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dilantik dan Tan Sri Chong Kah Kiat sebagai penasihat Ketua Menteri dalam sektor pelancongan.
"Tetapi apabila tiba PRN (Sabah) akan datang, bagilah sokongan kepada pemimpin Cina yang akan jadi calon GRS, kita akan bagi jawatan menteri dan pembantu menteri," katanya pada Ceramah Perdana Sandakan Ketua Menteri Bersama Rakyat di Dewan Hakka Sandakan di sini malam tadi.
Hajiji berkata perkara yang seharusnya diutamakan ketika ini adalah usaha untuk memulihkan ekonomi dan memajukan Sabah untuk manfaat serta kebaikan rakyat secara keseluruhannya.
-- BERNAMA
#pinggir kaum Cina #Hajiji Noor #jawatan menteri #PRU15
;