PRU15: Ketua bahagian UMNO tak tercalon nyatakan komitmen bantu BN - Ahmad Jazlan
Bernama
November 4, 2022 16:15 MYT
November 4, 2022 16:15 MYT
KOTA BHARU: Ketua bahagian UMNO di Kelantan yang tidak bertanding pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) telah menyatakan komitmen untuk membantu calon baharu dan parti Barisan Nasional (BN) dengan bersungguh-sungguh.
Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata antara calon baharu berkenaan adalah bagi Parlimen Tumpat, Rantau Panjang, Kuala Krai, Kota Bharu, Ketereh dan Pengkalan Chepa.
"Biarpun tidak bertanding mereka akan memberi tumpuan penuh dalam memberi taklimat dan berkempen. Ini antara kelebihan yang ada pada BN," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon BN Kelantan di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri di sini hari ini.
Ahmad Jazlan berkata kesemua 14 calon kerusi Parlimen yang akan bertanding pada PRU15 dipersetujui oleh pucuk pimpinan di peringkat pusat.
Menurutnya BN Kelantan menetapkan lapan kriteria dalam mencari calon iaitu orang muda, golongan wanita, agamawan, usahawan, kumpulan profesional, tokoh sukan, warga pendidik dan ahli politik.
"Kita yakin rakyat ingin melihat kerajaan yang stabil dan kukuh demi masa depan negara," katanya sambil menambah BN menyasarkan untuk memenangi lebih daripada lima kerusi Parlimen pada PRU15.
-- BERNAMA