PRU15: Ketidakstabilan politik tercetus jika BN-PH bekerjasama - Fadillah
Astro Awani
November 13, 2022 09:10 MYT
November 13, 2022 09:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pergolakan dan ketidakstabilan dalam arena politik negara boleh tercetus jika kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa bakal membentuk jajaran baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlaku.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kemelut politik juga akan bertambah buruk jika kerjasama itu direalisasikan.
"Pertama sekali dalam BN itu sendiri, ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong kerjasama BN dan PH.
"Ini sudah tentu mencetuskan ketidakstabilan sekali lagi," katanya ketika dipetik Utusan Malaysia.
Fadillah berkata demikan ketika mengulas dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BN akan bergabung dengan PH pasca PRU15.
Pada masa sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi pernah menyuarakan bahawa strategi berkenaan bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU15.
Abdul Hadi turut membangkitkan objektif akhir kerjasama itu adalah menyelamatkan pemimpin BN yang menghadapi pendakwaan di mahkamah.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ketua Whip GPS menyeru pengundi memilih GPS demi kestabilan dan keutamaan Sarawak ketika ini ialah menentukan dasar di peringkat Persekutuan iaitu mewujudkan kerajaan stabil.
"Jika BN dan PH bergabung, itu hak mereka. Keutamaan Sarawak sekarang ialah menentukan dasar di peringkat Persekutuan iaitu mewujudkan kerajaan stabil.
"GPS sahaja, jangan fikir yang lain. GPS yang akan dapat menstabilkan politik negara ketika ini,” katanya.
Isu dakwaan kerjasama BN dan PH itu kemudiannya dinafikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, malah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan kerjasama antara dua seteru politik itu adalah fitnah.
Ahmad Zahid sebelum ini turut dilapor menepis dakwaan kononnya pemimpin parti itu mahu mengecilkan kemenangan BN untuk memberikan kemenangan kepada PH.
Sebaliknya, Pengerusi BN itu berkata, semua parti mahukan kemenangan besar termasuk parti yang baru bertanding.