PRU15: Kestabilan tidak tertakluk kepada dominasi mana-mana parti - IDEAS
Israr Khalid
September 8, 2022 05:00 MYT
September 8, 2022 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Eksekutif IDEAS Malaysia, Tricia Yeoh menegaskan bahawa tiada jaminan bahawa sesebuah parti itu dapat memberi kestabilan sekalipun mereka mendominasi kerajaan.
Katanya, kestabilan itu juga tidak dapat dicapai dengan mengadakan pilihan raya, tetapi ia bergantung kepada institusi kenegaraan yang kuat yang menjalankan tanggungjawab demi negara, tanpa mengira parti mana pun yang memerintah.
“Kita tak boleh kaitkan perkataan kestabilan itu dengan mana-mana parti, maksudnya kestabilan itu bukan hak yang boleh dikuasai oleh mana-mana parti dan juga bukan tentang pilihan raya umum (PRU).
“Sektor bisnes misalnya tak peduli siapa pun yang menjadi kerajaan, apa yang rakyat peduli adalah adakah undang-undang akan diikuti, kepercayaan terhadap institusi yang kuat, itulah yang paling penting dari segi kestabilan," jelasnya.
Malah ujarnya, keadaan di mana sesebuah parti atau pakatan mampu mendominasi kerajaan itu pun sukar untuk dilihat berlaku lagi di masa mendatang memandangkan politik hari ini sudah terlalu terbahagi dengan kewujudan lebih banyak parti berbanding dahulu.
“Jadi sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan sekarang atau esok, adakah kita akan mengembalikan kestabilan seperti sebelum 2018 kerana kestabilan yang diingini rakyat mungkin adalah keadaan di mana ada satu parti yang dominan dalam negara.
“Sekarang ini disebabkan oleh fragmentasi politik dan sebagainya. Kita takkan pulang semula ke situasi di mana ada dua parti dominan di negara kita," katanya lagi.
Tonton sesi penuh Dialog Bipartisan: Mengintai PRU15 dihoskan oleh Luqman Hariz, di sini: