PRU15: Kestabilan politik tanpa majoriti mudah mampu dicapai - Penganalisis

Abdul Hafiz Mustadi
November 10, 2022 19:01 MYT
Jelas Chin Huat, sekiranya parti-parti politik mengambil sikap rendah diri dan sanggup dibawa berunding, Malaysia mampu mencapai kestabilan. - Gambar fail
TUARAN: Kestabilan politik adalah pertimbangan utama bagi para pelabur sebelum memutuskan ingin melabur di negara ini. Namun ia tidak semestinya hanya dapat dicapa menerusi kemenangan dengan majoriti mudah.
Penganalisis politik, Profesor Dr. Wong Chin Huat, kestabilan politik juga mampu dicapai tanpa kerajaan majoriti mudah dengan mengambil contoh Jerman dan New Zealand yang mengamalkan konsep kerajaan campuran.
"Kalau kita lihat di seluruh dunia daripada Jerman negara yang ekonomi paling kuat di seluruh Kesatuan Eropah (EU) dan New Zealand yang begitu selesa kehidupannya sampai ramai rakyat Malaysia ingin berhijrah ke situ.
"Kedua-dua negara ini mempunyai parlimen tergantung dan juga kerajaan campuran", ujar beliau ketika ditemui di Tamparuli sewaktu menjalankan pemerhatian terhadap kempen PRU15 di negeri itu pada Khamis.
Tambah Chin Huat, parti-parti politik di negara ini mampu mencontohi dua negara tersebut sekiranya mereka mengambil sikap sanggup berunding selain menegaskan sifat ingin mendominasi kerajaan oleh mana-mana parti hanya mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.
"Kalau parti-parti mengambil sikap yang rendah diri dan sanggup dibawa berunding, kita sebenarnya boleh mencapai kestabilan yang lebih kukuh, kerana dominasi selalu membawa kita kepada keangkuhan dan ketamakan.
"Ini kerana kita rasa kita sudah begitu kuat, jadi kita boleh buat apa sesuka hati",ujarnya.
Pasca PRU14 menyaksikan jawatan perdana menteri bertukar tangan sebanyak tiga kali melibatkan Tun Dr. Mahathir Mohammad (PH), Tan Sri Muhyiddin Yasin (PN), dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN) dalam satu penggal pemerintahan akibat perebutan kuasa politik.
#PRU15 #kerajaan campuran #Profesor Dr Wong Chin Huat #New Zealand
;