PRU15: Kerusi 'katak' Parlimen Nibong Tebal, Tasek Gelugor bakal jadi tumpuan di P.Pinang

Astro Awani
Oktober 22, 2022 17:13 MYT
Kerusi Parlimen Nibong Tebal dan Tasek Gelugor bakal jadi tumpuan PRU15 di Pulau Pinang. - Foto fail/BERNAMA
PULAU PINANG : Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Pulau Pinang mempunyai sedikit 'keunikan' mengenai hubungan federalisme antara kerajaan negeri dan Pakatan Harapan (PH) apabila memperlihatkan ketidakseragaman dalam kalangan gabungan parti itu.
Kerajaan Pulau Pinang terpaksa akur dengan keputusan Majlis Presiden PH yang menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu walaupun pimpinan DAP negeri itu mahu pilihan raya berjalan serentak dengan PRU15.
Di sebalik senario itu, yang pasti kerusi pemimpin-pemimpin yang melompat parti dalam PRU14 bakal menjadi sasaran pada kali ini.
Pada Februari 2020, penyandang kerusi Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisytiharkan dirinya keluar parti dan PH bagi membentuk 'gagasan' bersama 10 ahli Parlimen yang lain termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota).
Kemelut itu membawa kepada Langkah Sheraton yang akhirnya mengakhiri episod pentadbiran PH pada PRU14.
Persoalannya, apakah Mansor akan terus mengekalkan kerusinya itu di Nibong Tebal? Jika beliau bertanding di kerusi yang sama, apakah pengundi Nibong Tebal akan sekali lagi mengundi beliau yang dianggap 'mengkhianati' mandat rakyat?
Di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), Mansor dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan kemudian ke jawatan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air pada 30 Ogos 2021.
Selain Nibong Tebal, kerusi Parlimen Tasek Gelugor yang dimenangi calon UMNO, Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti tipis sebanyak 81 undi juga bakal menjadi tumpuan pengundi Pulau Pinang.
Bekas Hakim Mahkamah Syariah berusia 57 tahun itu, mengumumkan keluar daripada UMNO pada 14 Disember 2018 dan menjadi wakil rakyat bebas selama setahun sebelum menyertai Bersatu pada 2019.
Pada Julai 2020 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yakin BN mampu mengambil semula kerusi Parlimen Tasek Gelugor.
Beliau berkata, kerusi Parlimen Tasek Gelugor itu merupakan kerusi UMNO, tetapi telah dirompak dan dibawa lari.
#Nibong Tebal #tasek gelugor #PRU15 #Malaysia Memilih
;