PRU15: 'Kerusi dia pun belum tentu' - Anwar sindir Latiff isu calon PM
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 25, 2022 07:15 MYT
Oktober 25, 2022 07:15 MYT
ALOR GAJAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang mendakwa kononnya beliau tidak layak untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.
Katanya, kedudukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sendiri masih belum pasti untuk mengulas mengenai perkara itu.
“Oh! Latiff? Kerusi dia pun belum tentu,” katanya sinis ketika ditemui selepas melancarkan jentera pilihan raya PH pada Jelajah Mega Harapan Melaka di Taman Sungai Petai Permai di sini, malam tadi.
Beliau terdahulu diminta mengulas kenyataan Abdul Latiff yang juga bekas Ahli Parlimen Mersing yang mendakwa PH tidak wajar menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Ujar Abdul Latiff, ini kerana, kes mahkamah difailkan bekas pembantunya, Yusof Rawther, terhadap beliau masih belum selesai.
Sementara itu, Pengerusi PH Melaka Adly Zahari ketika ditemui berkata, dakwaan berkenaan sudah lapuk memandangkan isu yang dinaikkan adalah isu berulang yang sering dijadikan propaganda politik parti lawan.
“Apa pun (bentuk) pendakwaan dan sebagainya itu, biarlah mahkamah yang tentukan. Tetapi, dalam masa sama, kita juga harus menilai apa isu sebenarnya. Kerana, isu moral yang selalu ditujukan kepada Anwar adalah isu berulang.
"Tetapi, kalau kita lihat di PH, Anwar adalah calon terbaik berdasarkan pengalaman, kesungguhan dan segala pengalaman beliau. Dan rakyat Malaysia sepatutnya beri beliau peluang untuk buktikan beliau boleh laksanakan tugas dan tanggungjawab," katanya.