PRU15: Kerjasama PN, PH sukar berlaku - Penganalisis

Hasimi Muhamad
Ogos 31, 2022 17:16 MYT
Sebelum ini Muhyiddin (gambar) menyarankan agar parti pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN bagi menghadapi BN pada PRU15. - Gambar fail/PMO
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disifatkan sebagai sukar untuk berlaku.
Ini kerana, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berpandangan akar umbi PH melihat kerjasama tersebut akan merugikan gabungan itu sebagaimana yang berlaku sebelum ini.
Sebagai pembangkang, jelas Mujibu, PH dilihat lebih solid untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) sendiri memandangkan parti itu sedang terkial-kial untuk menangani tuduhan penyelewengan melibatkan pemimpin-pemimpin kanan mereka.
"Dalam masa yang sama juga sentimen dan keghairahan rakyat untuk kembali melihat politik sebagai satu yang penting terutamanya mereka seolah-olah diingatkan bahawa sekarang ini mereka harus mengenang kembali sebab mengapa mereka menolak BN pada 2018, (dan) kembali dengan naratif yang sama.
"Jadi ini mungkin satu kesesuaian (untuk bergerak solo) tetapi pengalaman PH bekerjasama dengan Bersatu, dan dikhianati walaupun saya rasa pengkhianatan ketika Langkah Sheraton itu dimulakan oleh golongan yang dikatakan sebagai 'kartel dalam PKR itu sendiri.
"Tetapi saya rasa kerjasama ini mungkin tidak berlaku menuju PRU15," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Rabu.
Sebelum ini Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan agar parti pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN bagi menghadapi BN pada PRU15.
Begitu pun, Mujibu yang juga penganalisis politik berkata, kerjasama kemungkinan boleh berlaku selepas PRU15 sekiranya keputusan pada pilihan raya berkenaan kelak menyaksikan tiada mana-mana parti yang mampu membentuk majoriti.
Mujibu menambah, senario yang berlaku pada 2018 adalah berbeza apabila beberapa parti menjalinkan kerjasama untuk menjatuhkan BN.
Politik | Adakah kerjasama PN dan parti pembangkang lain realistik?
Ujarnya lagi, ketika ini PH telah belajar daripada pengalaman dikhianati, dan mereka mengambil langkah berhati-hati untuk menjalinkan sebarang kerjasama dalam PRU15.
"Kalau kita tengok situasi sama iaitu sukar untuk mana-mana parti membentuk satu majoriti tanpa bergabung kerana segmen-segmen pengundi yang berbeza, dan itu kekuatan tersendiri parti yang bertanding (dan) tidak mungkin itu berlaku.
"Sebagai contoh, bagaimana PH sebenarnya tertekan untuk mendapatkan kerusi Melayu kerana komponen Melayu seperti parti Amanah mungkin tidak setara dengan parti lain. Begitu juga dengan PN, kita tengok naratif Melayu membuahkan hasil walaupun (pada tahap) sederhana dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor," kata Mujibu.
Kerjasama Politik | Idea kerjasama PN - PH untuk selamatkan negara - Muhyiddin
Dalam masa yang sama, beliau berpandangan sentimen Melayu yang dibawa oleh Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipelopori oleh empat parti tonggak juga masih belum berjaya untuk menyaingi naratif Melayu yang dibawa oleh BN dan PN.
Katanya, Pengerusi Penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad seolah-olah tidak mempunyai 'bisa' untuk menolak GTA ke depan, melainkan terdapat perkara-perkara lain yang membantu gabungan tersebut.
#Kerjasama PRU15 #PN kerjasama dengan PH #Bila PRU15 #Politik Malaysia
;