PRU15: Kerajaan stabil diperlukan demi baik pulih ekonomi
Madiha Abdullah
November 10, 2022 13:10 MYT
November 10, 2022 13:10 MYT
KUALA LUMPUR: Perdagangan dan pelaburan negara pasca COVID-19 menunjukkan peningkatan namun masih terdapat beberapa isu yang perlu ditangani.
Pengarah Institut Malaysia dan Pengajian Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Sufian Jusoh berkata, biarpun Malaysia dilihat sebuah destinasi pelaburan menarik, indikator yang kukuh seperti kerajaan yang stabil serta polisi ekonomi yang konsisten diperlukan bagi membolehkan Malaysia bersaing dengan negara serantau.
"Malaysia memerlukan peningkatan dari segi kualiti pelaburan asing dan tempatan serta eksport pasaran antarabangsa. Pelaburan langsung asing (FDI) meningkat tetapi kualitinya tidak seperti yang diharapkan.
"Pertukaran kerajaan dan perdana menteri sebanyak tiga kali beri kesan keyakinan kepada pelabur dan perdagangan antarabangsa. Pelabur lebih tertumpu kepada Indonesia dan Vietnam berbanding Malaysia, itu ringkasan kepada situasi yang berlaku pada penggal lepas," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Malaysia Memilih, pada Khamis.
Bergerak ke hadapan, khususnya situasi ekonomi yang dijangka meleset pada tahun 2023, Sufian berkata ia sudah pun bermula dimana perdagangan antarabangsa masih belum pulih pasca COVID-19, kemelesetan pelaburan asing dan ketiga kenaikan dolar Amerika yang sekali gus menyumbang kepada inflasi dan kenaikan harga barang.
"Ini akan memakan masa untuk pulih, mungkin dalam tiga atau empat tahun. Kita kena fokus pada keadaan ekonomi dalaman, membina balik pertanian bagi menjamin kestabilan makanan dan membolehkan beberapa industri dibina seperti pengeluaran baja dan teknologi makanan.
"Ini semua memerlukan dasar yang kuat dan konsisten, jadi sesiapa saja yang dipilih (sebagai kerajaan) perlu stabil untuk jangka masa penggal akan datang," katanya lagi.