PRU15: Kerajaan Sarawak pertimbang beri bantuan mahasiswa pulang mengundi

Fadilah Sulaiman
Oktober 18, 2022 17:04 MYT
Premier Sarawak berkata, hal itu memerlukan penelitian sama ada bantuan tersebut melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya atau sebaliknya.
KUCHING: Kerajaan negeri masih mempertimbangkan untuk memberi bantuan pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada mahasiswa yang berada di luar Sarawak, kata Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata, hal itu memerlukan penelitian sama ada bantuan tersebut melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya atau sebaliknya.
“Saya ingin menjelaskan ia adalah permintaan pelajar yang bertanya sama ada kerajaan ada memberi mereka bantuan untuk pulang mengundi. Jadi saya katakan kita akan pertimbangkan selepas saya berbincang dengan pemimpin-pemimpin GPS.
“Kita juga perlu mematuhi undang-undang pilihan raya tetapi kerana mahasiswa kita bertanya jadi saya kata saya pertimbangkan selain kita perlu meneliti implikasinya dahulu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Air dan Sisa Air Borneo (BIWWEC) 2022 di Hotel Imperial Kuching pada Isnin.
Minggu lalu dalam sesi townhall Lan Berambeh Anak Sarawak di Kuala Lumpur, Premier telah disoal sama ada kerajaan negeri ada menyediakan bantuan untuk menggalakkan mahasiswa di luar Sarawak pulang bagi melunaskan tanggungjawab mereka.
Bagi anak Sarawak, PRU15 merupakan kali pertama golongan usia 18 hingga 20 tahun dibenarkan mengundi susulan kerajaan Malaysia meluluskan Undi18 pada Disember 2021.
Sementara itu, dalam sidang media sama Abang Johari memberitahu semua agensi utiliti air di Sarawak akan disatukan di bawah satu badan berkanun dalam tempoh dua tahun dengan peranan mengawal selia bekalan dan pengagihan air di seluruh negeri ini.
Menurutnya, kerajaan negeri sedang mengkaji aspek rangka kerja undang-undang berkaitan pengawalseliaan serta pengoperasian dalam parameter tertentu di bawah Ordinan Air.
Jelas beliau, ia akan mengguna pakai model yang serupa seperti pengurusan elektrik negeri ini iaitu di bawah seliaan Sarawak Energy Berhad.
“Kerana kita ada Lembaga Air Sibu, Lembaga Air Kuching, Laku Management di Miri dan mereka ada peramcangan masing-masing, jadi apa yang kita lakukan adalah menyatukan semua ini di bawah satu pihak berkuasa air.
“Keduanya, kita juga mahu kawal selia air tasik. Kita mempunyai banyak badan air termasuk empangan kita seperti Bakun dan Murum, jadi semua itu memerlukan pihak berkuasa ini untuk mengawalnya,” tambahnya.
Usaha ini katanya selari dengan aspirasi Sarawak mencapai sasaran membekalkan air bersih kepada 100 peratus penempatan di seluruh negeri menjelang 2025.
Untuk itu juga pihak kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM4 bilion dalam tempoh tiga tahun lepas bagi projek-projek air yang kini mencapai 83.6 peratus liputan bekalan air bersih.
#Malaysia Memilih #politik sarawak #Abang Johari Tun Openg #GPS
;