PRU15: Kerajaan Pulau Pinang akur keputusan tak bubar DUN - Ketua Menteri

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 15, 2022 17:57 MYT
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow ketika bertemu para pengamal media mengulas mengenai Pilihanraya Umum ke-15 selepas merasmikan bilik komputer di Pusat Jagaan Suria hari ini. - Foto BERNAMA
SUNGAI ARA: Kerajaan Pulau Pinang akan memberi tumpuan penuh kepada proses pengundian di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tidak dibubarkan.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akur dengan keputusan yang sudah dimuktamadkan Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, tidak timbul soal kecewa ketika ini meskipun rayuan Pakatan Harapan (PH) negeri yang mahu keputusan tidak membubarkan DUN dikaji semula ditolak kerana ia sudah dipersetujui bersama.
Kon Yeow berkata, apa yang penting kini ialah semua jentera parti menumpukan pada gerak kerja bagi memastikan PH dapat menang sebanyak mungkin kerusi yang dipertandingkan di 13 kawasan Parlimen di negeri itu.
"Kecewa atau tidak, keputusan sudah dibuat awal lagi. Keputusan itu dibuat sebelum pembubaran dan mungkin ada isu-isu dipertimbangkan tetapi kita percaya kita menerima satu pendengaran dan perbincangan yang amat menyeluruh sebelum satu keputusan dicapai," jelasnya.
Kon Yeow berkata PH tidak mahu memberi kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN) dan berharap ramai pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian yang akan ditetapkan kelak.
"Harap pengundi-pengundi dapat faham walaupun mungkin ada pihak yang kecewa termasuk media (kerana) kena buat kerja dua kali, tetapi ini satu keputusan dan proses demokrasi yang kita hargai dan pentingnya kita menyuruh semua penyokong-penyokong kita, semua ahli parti, menumpukan perhatian apa yang sudah diputuskan. Kita tumpukan semangat demi mencapai kemenangan," katanya lagi.
Dalam pada itu , Kon Yeow berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang bahawa DUN Pulau Pinang tidak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri berjalan serentak dengan PRU15.
BACA: Tiga negeri di bawah PH kekal tidak bubar DUN - Anwar
BACA: Tidak bubar DUN Pulau Pinang, satu keputusan sukar - Anthony Loke
Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap Majlis Presiden PH sepakat dalam menentukan tempoh dan tarikh sama bagi ketiga-tiga negeri mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun hadapan.
"Saya percaya ketiga-ketiga negeri PH melalui parti dan melalui Majlis Presiden PH perlu ada sepakat juga (dalam) menentukan tempoh dan tarikh (PRN) yang sama bagi ketiga-tiga buah negeri," tambahnya.
Kon Yeow berkata demikian kepada media selepas di majlis penyampai cek dan perasmian bilik komputer di Pusat Jagaan Suria di Sungai Ara, Pulau Pinang pada Ahad.
Majlis Presiden PH hari ini sebulat suara menangguhkan pembubaran DUN Pulau Pinang ketika pimpinan DAP di negeri itu mahu ia berjalan serentak dengan PRU15.
DAP Pulau Pinang sebelum ini menyuarakan hasrat mengadakan PRN serentak dengan PRU15 selepas mengambil kira pandangan rakyat dan faktor logistik yang dilihat lebih memudahkan.
#pulau pinang #tak bubar DUN #PRU15 #Chow Kon Yeow
;