PRU15: 'Kerajaan Perpaduan Negeri Perak', nama baharu gabungan BN-PH
Ridauddin Daud
November 21, 2022 19:09 MYT
November 21, 2022 19:09 MYT
KUALA KANGSAR: "Sekarang ini kita pakai Kerajaan Perpaduan Negeri Perak".
Itu jawapan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika ditanya nama baharu gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) di Perak.
Dalam sidang media di sini pada Isnin, Saarani turut menafikan BN menerima tawaran bekerjasama dengan PH kerana parti itu mahukan jawatan Menteri Besar.
"Tidak betul. Sebab saya sebutkan tadi, kami ni bersedia untuk jadi pembangkang. Sebab kami sedar dirilah. Kita bersedia untuk jadi pembangkang, kita kalah.
"Tapi bila ada mana-mana parti yang menawarkan kami untuk membentuk kerajaan dan memberi peranan kepada kami untuk turut serta dalam pentadbiran kerajaan, tentulah saya kena terima. Kalau saya tak terima tentu ahli kata saya bodoh.
"Tapi peranan dia (PH) bagi tu dan peranan itu sesuai pada saya sebab saya adalah orang yang yang ketuai Perak Sejahtera 2030, saya nak meneruskannya," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya jaminan kerajaan gabungan itu akan terus stabil, Saarani menegaskan fokus utama kini adalah rakyat dan beliau yakin kedua-dua parti dapat mengetepikan perbezaan demi rakyat.
"Saya fikir kedua-dua parti ini sudah berpengalaman dan rasionalnya ada. Saya yakin kita mempunyai niat dan tujuan yang sama, untuk beri fokus kepada pembangunan negeri.
"Kita akan kesampingkan perbezaan yang ada, memilih untuk mencari titik pertemuan kerana tujuan kita adalah sama.
"Fokus utama hanyalah untuk rakyat negeri Perak...ketepikan perkara sampingan dan tumpu kepada perkara utama," ujarnya.