PRU15: Kerajaan P. Pinang tidak akan bubar DUN pada musim tengkujuh - Ketua Menteri

Dewi Nur Harasha Alias
September 20, 2022 15:47 MYT
Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetap diadakan pada musim monsun, kata Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetap diadakan pada musim monsun.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, proses melaksanakan PRU semasa musim banjir amat tidak sesuai, bahkan, terlalu berisiko kepada keselamatan pengundi dan juga peratusan undi kelak.
Menurut Kon Yeow, kerajaan Pusat sepatutnya lebih cakna dengan situasi itu dan mengambil kira pandangan rakyat yang tentunya enggan PRU15 diadakan semasa musim banjir.
Dalam masa sama, tegas beliau, ramai yang mengecam keghairahan pihak-pihak yang menggesa PRU15 diadakan pada musim tengkujuh.
Jelasnya, perjalanan kempen dan proses pengundian akan terjejas sekiranya berlaku banjir ketika itu dan pasti akan menyukarkan pengundi, petugas yang menjaga peti undi serta pihak-pihak berkaitan.
Juateru, kerajaan Pusat, tegas Kon Yeow, perlu mendengar suara rakyat terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU 15 dalam tempoh terdekat.
"Setakat ini kita tidak mempertimbangkan sama ada musim monsun atau tidak. It is the earlier consideration adakah PRU diadakan tahun ini… ketika itu pertimbangan itu tak diikuti tapi jika pembubaran hampir sampai penggal penuh, saya fikir secara jelasnya kami akan ikut (adakan PRU)
“Tetapi sudah tentu sekarang ini dengan BN (Barisan Nasional) yang nampaknya sangat berazam mahu mengadakan PRU lebih awal meskipun ketika tempoh monsun,
"Saya pasti ramai orang mengkritik keputusan ini kerana semasa musim banjir tidak sesuai untuk mengadakan kempen dan pengundian pilihan raya. Apa yang berlaku jika banjir berlaku pada hari membuang undi?" kata Kon Yeow.
Ketua Menteri berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di sini, pada Selasa, ketika ditanya adakah kerajaan negeri akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sanggup meredah banjir untuk berkempen sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada akhir tahun ini.
#PRU15 #DUN Pulau Pinang #Ketua Menteri #Chow Kon Yeow
;