PRU15: Kerajaan Melayu Islam mesti amanah dan adil - Anwar
Madiha Abdullah
November 17, 2022 08:30 MYT
November 17, 2022 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Nama kerajaan Melayu Islam harus digunakan dengan bijak dan berhemah agar tidak menjatuhkan agama dan bangsa.
Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan Islam haruslah amanah, tidak zalim dan adil kepada semua rakyat tidak kira bangsa atau agama.
"Saya tidak anti Pas, saya pernah bekerja dengan mereka, saya masih muliakan Almarhum Nik Aziz Nik Mat, saya tak lupa jasa Fadzil Noor, Yusof Rawa tetapi saya tak faham sikap (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang, sebagai contoh katanya DAP dan PH menentang perlembagaan dan hak Melayu, keistimewaan raja Melayu. Ini bukan politik.
"Penyokong Pas sampai kata nak membunuh, ini menanam bibit kebencian kaum, fanatik yang berbahaya kepada negara," katanya ketika berucap dalam Grand Finale Jelajah Mega PH di Keramat, malam tadi.
Turut serta ialah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, calon pakatan harapan bagi parlimen Gombak, Datuk Amirudin Shari dan Presiden Parti Ikatan Demokratik (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Tambah Anwar, isu kleptokrat yang membelenggu negara tidak tamat dengan hukuman yang diterima bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya harus diperbetulkan dengan sistem dari akar umbi.
"Pegang kuasa bukan untuk bolot kekayaan. Isu 1MDB, LCS, helikopter, submarines, sakau semua kekayaan negara. Ini bukan hal satu atau dua orang.
"Ada kata kleptokrat itu Najib. Bukan, tetapi sistem itu, ramai lagi kaki sakau. (Tan Sri) Muhyiddin Yassin isytihar darurat, tak boleh bahas di Parlimen, dia guna itu untuk luluskan peruntukan RM580 bilion projek tanpa tender, 'no transparency'.
"Sekarang dia kata dia perdana menteri terbaik, dia dan Khairy (Jamaluddin) buat dasar, berapa orang meninggal dunia? Berapa kos vaksin? Mana tender, company apa yang dapat?" tanyanya.
Terdahulu, Anwar berkata beliau hadir ke Gombak untuk "menghalau pengkhianat itu dari Gombak”, merujuk kepada penyandang kerusi Parlimen berkenaan, Datuk Seri Azmin Ali.
"Jadikan ini sebagai pengajaran pada masa hadapan, jangan sekali-kali terima pengkhianat," kata Anwar.