PRU15: Kerajaan campuran akan dibentuk andai tiada parti dapat majoriti mudah - PM

Raja Hisyam Raja Zaid
November 9, 2022 11:11 MYT
Ismail Sabri berkata, beliau meletakkan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memikirkan bentuk kerjasama yang akan dijalinkan nanti. - Gambar/ Bernama
ALOR GAJAH: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan pembentukan kerjasama baharu antara parti politik perlu diwujudkan seandainya tiada mana-mana gabungan mendapat majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kalau tidak ada satu parti yang mempunyai majoriti mudah, tentu sahaja untuk membentuk kerajaan kena ada satu kerajaan campuran. Kalau tidak ia akan menjadi Parlimen tergantung.
“Kita pun tak tahu lagi ada atau tidak parti yang akan mempolehi majoriti mudah. Tapi memang saya setuju kalau tidak ada parti yang mempunyai majoriti secara sendiri untuk membentuk kerajaan, memang kena ada kerajaan campuranlah,” katanya.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Kerajaan Selangor setuju beri cuti umum pada 18 Nov - MB Selangor
SEMAK CALON PRU15 DI SINI!
Bagaiamanapun sekiranya ia berlaku, beliau meletakkan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memikirkan bentuk kerjasama yang akan dijalinkan nanti.
“Keputusan besar seperti ini, parti yang akan membuat keputusan. Tak boleh individu untuk membuat keputusan nak PKR ke... nak Perikatan Nasional (PN) ke... nak Pakatan Harapan (PH) ke... tak nak itu dan tak nak ini... parti akan buat keputusan,” katanya lagi.
Beliau ditemui pemberita ketika menyatuni warga kawasan Alor Gajah bersama calon BN bagi Parlimen berkenaan, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.
#PRU15 #kerajaan campuran #ismail sabri yaakob #kerjasama politik baharu