PRU15: Keputusan MKT UMNO tindakan tergesa-gesa - Penganalisis

Ridauddin Daud
Oktober 1, 2022 16:48 MYT
Astro AWANI pada Jumaat melaporkan mesyuarat MKT UMNO bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini juga. - Gambar/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini merupakan satu tindakan tergesa-gesa, kata penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub.
Menurutnya, beberapa pemimpin UMNO yang bukan ahli MKT namun memegang jawatan menteri dan timbalan menteri akan teragak-agak untuk menerima keputusan tersebut.
Begitupun, tegasnya keputusan MKT UMNO itu bukanlah bermakna PRU15 akan tetap diadakan tahun ini kerana keputusan muktamad terletak pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
BACA: MKT UMNO mahu Parlimen dibubarkan tahun ini - Ahmad Maslan
“Maka kalau dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, belum tentu lagi pembubaran Parlimen itu akan dilaksana atau diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
“Kita perlu menunggu langkah seharusnya dilakukan Perdana Menteri, dan UMNO kena ingat, kerajaan yang mentadbir Kerajaan Persekutuan sekarang bukanlah kerajaan UMNO sepenuhnya tapi kerajaan gabungan antara Pas bersama Bersatu dan GPS.
“Maka sudah semestinya keputusan konsensus perlu diambil daripada Kabinet dan tidak semestinya keputusan MKT itu satu keputusan mutlak yang perlu diperkenankan (Yang di-Pertuan Agong) dengan segera,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Sabtu.
Analisis | PRU15 tahun ini, adakah keputusan tepat?
Tegasnya, keputusan satu parti tidak mewakili keputusan semua memandangkan negara masih berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, dengan setiap keputusan parti perlu berlandaskannya.
Tambahnya, beliau tidak nampak keperluan PRU15 diadakan segera kerana kerajaan perlu bersiap sedia berhadapan bencana banjir dan pada masa sama memastikan kebajikan rakyat ketika bencana sentiasa terjaga.
Astro AWANI pada Jumaat melaporkan mesyuarat MKT UMNO bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini juga.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, keputusan itu berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat COVID-19, selepas kerajaan Pakatan Harapan ‘runtuh’ akibat persengketaan dalaman.
Politik | PRU-15 tahun ini?
#MKT UMNO #PRU15 #Yang di-Pertuan Agong #keputusan tergesa-gesa
;