PRU15: Kepentingan kos, strategi, media sosial terhadap perang poster

Bernama
November 10, 2022 12:18 MYT
Deretan bendera pelbagai parti yang bertanding bagi Parlimen P.098 Gombak menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kos, strategi pemasangan dan penekanan kepada media sosial nampaknya mempunyai kaitan dengan perang poster dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Parti-parti politik dilihat memilih untuk memasang poster dan bendera berbanding papan iklan dalam usaha untuk menampakkan kehadiran mereka.
Mereka juga meletakkannya di lokasi strategik untuk memastikan logo parti mereka mudah dilihat pengundi.
Pengurangan dalam bilangan poster, bendera dan sepanduk fizikal juga menunjukkan penggunaan media sosial yang lebih meluas.
Justeru, tidak mengejutkan apabila secara umum kurangnya poster, bendera, sepanduk dan papan iklan kelihatan pada pilihan raya kali ini berbanding PRU14 pada 2018.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Jika ramai keluar mengundi, UMNO akan 'hanyut di Sungai Muar'
Tinjauan di sekitar ibu negara dan Gombak di Selangor pada Selasa mendapati warna-warni kibaran bendera yang menghiasi pinggir jalan dan bangunan dilihat kurang meriah berbanding PRU14, kecuali di pusat-pusat tumpuan penduduk dan kawasan perumahan seperti Flat PKNS Taman Keramat.
SEMAK CALON PRU15 DI SINI!
Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Gombak Zafrullah Aris berkata parti itu memberi fokus kepada kawasan yang mudah dilihat pengundi supaya mereka dapat merasai keberadaan PH di Parlimen berkenaan.
"Kami (PH) pilih pasang (poster) di kawasan bandar, pekan dan taman perumahan berbanding membeli papan iklan di jalan-jalan besar seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) kerana itu mengambil kos yang agak tinggi," katanya.
Menurut Zafrullah, PH turut memberi tumpuan kepada kempen poster calon di media sosial kerana kos yang jauh lebih murah, selain mampu menarik pengundi muda yang rata-ratanya lebih aktif dalam talian.
Pandangan sama turut dikongsi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa Roshan Zaki Othman yang berkata aktiviti perang poster di media sosial lebih diberi perhatian pada PRU15 ini, namun pemasangan bendera Barisan Nasional (BN) di Parlimen Setiawangsa tetap seimbang seperti PRU14.
"Selain itu, kami juga melaksanakan 'Speakers' Corner' yang membantu menyebar luas tentang kelebihan calon dan parti," katanya sambil menambah pemasangan poster dan pengedaran risalah yang efektif membantu mengurangkan perbelanjaan.
Di KEDAH, tinjauan Bernama di sekitar kawasan Parlimen Kubang Pasu dan Alor Setar mendapati tiada poster calon yang kelihatan setakat Selasa, manakala pemasangan bendera parti pula tidak begitu meriah seperti PRU14.
Setiausaha Kerja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muhammad Fikri Ahmad mengakui pemasangan bendera parti yang baharu pertama kali bertanding itu agak kurang berbanding parti lain berikutan peruntukan yang agak terhad.
"Cita-cita kami memang nak banjirkan (Parlimen) Kubang Pasu ini setiap ceruk ada bendera.
"Tetapi kami lebih cenderung untuk meletakkan bendera ataupun bahan kempen ini di tempat strategik seperti berhampiran lampu isyarat, persimpangan lebuh raya, (jalan) ataupun tempat masyarakat berhimpun seperti pasar malam," kata Muhammad Fikri yang juga Bendahari Pejuang Muda Malaysia.
Di KELANTAN, kemeriahan 'perang' bendera dan sepanduk amat dirasai di beberapa kawasan di Gua Musang menjelang hari pengundian 19 Nov ini.
Hamidah Ismail, penduduk perumahan Taman Putih berkata jawatankuasa penduduk bergotong-royong memasang bendera BN sejak tempoh kempen bermula.
"Anak muda di kawasan kami mencadangkan untuk menambah bilangan bendera, justeru kami ahli jawatankuasa kampung membeli 500 batang buluh daripada penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman dengan harga RM1 sebatang," katanya.
Abd Rahim Abdullah dari Perumahan Chin Teck pula berkata pemasangan bendera akan ditambah dari semasa ke semasa sepanjang tempoh berkempen bagi menghidupkan suasana pilihan raya.
Di JOHOR, penyokong parti seronok memasang bendera dan poster sepanjang malam sambil berusaha memastikan kemenangan calon pilihan raya masing-masing.
Tinjauan mendapati bendera BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menghiasi pinggir jalan utama bermula dari Parit Jawa sehingga ke bandar Muar.
"Buat masa ini kami perang bendera secara sederhana, seminggu lagi PRU15 barulah kami akan buat besar-besaran termasuk memasang kain rentang dan papan iklan," kata Ahli Jawatankuasa MUDA Bahagian Muar, Mohd Hairudin Rabun.
Katanya setiap malam, seramai 20 sukarelawan akan membantu Jentera MUDA Muar memasang sebanyak 600 bendera pelbagai saiz menggunakan batang buluh berukuran antara 2.5 meter dan 3 meter yang diperoleh dari Pontian dan Segamat dengan harga RM3 sebatang.
Di PULAU PINANG, perang bendera dan poster di kawasan bandar masih lagi 'suam-suam kuku' berbanding di kampung dan pinggir bandar yang dilihat lebih menyengat dengan poster diubah suai mengikut bentuk yang menarik.
Jurucakap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya mengeluarkan 25 permohonan permit iklan pilihan raya daripada parti politik yang bertanding.
"Setakat ini, tiada permohonan yang ditolak oleh MBPP. Kami ingin mengingatkan semua pemohon supaya memastikan iklan yang dipasang tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam dan pengguna jalan raya," katanya.
-- BERNAMA
#PRU15 #perang poster #bendera calon PRU #Parlimen Setiawangsa
;