PRU15: Kelebihan BN-GRS tampil muka baharu - Jamawi
Hasimi Muhamad
November 3, 2022 08:45 MYT
November 3, 2022 08:45 MYT
KOTA KINABALU: Penampilan muka baharu di Sabah oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dijangka memberi kelebihan kepada gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon BN di Parlimen Tenom, Jamawi Jaafar berkata, GRS-BN meletakkan hampir 65 peratus calon baharu yang dilihat bersifat mesra pengundi muda, sekali gus mampu menarik sokongan kumpulan berkenaan.
“Walaupun saya juga dilabelkan sebagai ‘recycle’, tetapi juga muka baharu dan muda lagi iaitu 40-an.
“Komuniti pengundi kita yang berusia lebih kurang 45 tahun adalah lebih kurang 65 peratus daripada daftar pemilih baru-baru ini.
“Ia satu pilihan kepada anak muda bahawa BN dan GRS menggariskan dan menampilkan pemimpin-pemimpin muda yang boleh berdamping dengan mereka untuk membawa suara mereka ke Parlimen,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Jamawi antara muka baharu yang dipertaruhkan oleh BN untuk menawan kerusi Parlimen Tenom.
Kerusi tersebut disandang oleh Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH) - DAP, yang menang dengan majoriti 1,133 pada PRU14.
Mengenai saingan berdepan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony, Jamawi berkata beliau yakin mampu berdepan cabaran tersebut.
“Saya pernah bertembung dengan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, di mana saya sendiri bidan terjun ketika itu.
“Saya telah memberikan persaingan yang cukup hebat dan saya yakin kali ini saya akan dapat mengatasi cabaran itu dengan memenangi kerusi Parlimen Tenom,” ujarnya lagi.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong itu menambah, isu pembangunan luar bandar dan prasarana sekolah daif dijangka dimainkan oleh pembangkang sepanjang berkempen.
Jamawi berkata, pembangkang akan terus ‘menyalahkan’ gabungan itu, kononnya gagal membangunkan infastruktur di Sabah.
“Jadi bagi saya ini satu cabaran. Sebagai pemimpin muda kita juga sudah lama melaungkan perkara ini, dan makanya pada hari ini peristiwa yang bersejarah antara BN dan GRS supaya bersatu hati dalam menghadapi cabaran,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi yakin penduduk di Tenom menyedari perjuangannya untuk mengatasi isu kemiskinan.
Pada Rabu, GRS-BN mengumumkan 24 calon mereka bagi PRU15, manakala satu lagi kerusi melibatkan Parlimen Beluran masih dalam rundingan.
Antara yang turut dipertaruhkan ialah dua menteri Kabinet Sabah - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan yang akan bertanding di Parlimen Sepanggar serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya (Putatan).