PRU15: Keinginan Pas jadi 'King Maker' lebih cenderung bersifat ugutan - Anwar

Raja Hisyam Raja Zaid
September 5, 2022 07:09 MYT
Kenyataan Pas yang yakin mampu menjadi 'King Maker' pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU5) disifatkan satu pendekatan yang berbahaya kerana dilihat cenderung bersifat ugutan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kenyataan Pas yang yakin mampu menjadi 'King Maker' pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU5) disifatkan satu pendekatan yang berbahaya kerana dilihat cenderung bersifat ugutan.
Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat boleh menilai sendiri sifat parti Islam itu dalam keadaan mereka yang kini sebahagian daripada kerajaan yang memerintah.
“(Menjadi) ‘King Maker’ maknanya kami nak sekian (jawatan) menteri, kami nak sekian kedudukan sepertimana yang berlaku sekarang.
“Yang kita nak ialah parti yang mengemukakan dasar yang jelas, rasuah sudah menjadi barah di negara ini, penyalahgunaan kuasa, ekonomi tidak dirancang dengan memuaskan dan tidak dipacu dengan meyakinkan.
"Hal-hal ini bagi saya lebih utama... kalau cakap soal slogan sahaja sama ada Islam ataupun ‘King Maker’, kita tengok sepertimana yang kita tahu kadar kegiatan perjudian itu di bawah kerajaan sekarang yang Pas menyertai sebagai beberapa Menteri Kanan, itu lebih parah sekarang dari dulu,” kata Ketua Pembangkang kepada pemberita selepas berucap pada Simposium Perubahan Iklim 2022 di Parlimen, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Pas seharusnya menumpukan perhatian terhadap masalah-masalah utama membabitkan kemiskinan, masalah pengangguran rakyat dan sebagainya yang dilihat lebih penting daripada sekadar memberi fokus menjadi 'King Maker'.
Anwar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berkata, parti itu mampu menang 40 daripada 80 kerusi yang ingin ditandingi pada PRU15 akan datang.
Malah, menurut Muhammad Sanusi, tiada mana-mana kerajaan mampu terbina tanpa penglibatan Pas pada PRU15.
#Anwar Ibrahim #Muhammad Sanusi Md Nor #Pas jadi King Maker #PRU15