PRU15: Kedah guna logo PN - Takiyuddin

Muhafandi Muhamad
Oktober 25, 2022 07:45 MYT
Takiyuddin (kiri) ketika melakukan lawatan di Dataran Serambi Malam pada Selasa malam. -Astro AWANI
KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) Kedah akan menggunakan logo PN termasuk calon dari Pas selepas satu keputusan dibuat pada mesyuarat petang semalam.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agong Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan malam tadi.
Jelas Takiyuddin lagi, setakat ini hanya dua negeri menggunakan simbol bulan atau logo Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Sebenarnya dua negeri sahaja yang guna logo Pas iaitu Kelantan dan Terengganu.
"Petang tadi dalam mesyuarat dipersetujui di Kedah guna logo PN," kata Takiyuddin.
Keputusan yang dibuat pimpinan dalam PN itu mengambil kira situasi semasa dan komposisi kaum di Kedah selain persetujuan yang dibuat melalui mesyuarat PN Kedah.
Walaupun rakyat Kedah terutama penyokong Pas menerima penggunaan logo Pas, namun atas alasan kepelbagaian kaum, penggunaan logo PN lebih menarik minat pengundi.
Tegas Takiyuddin, keputusan yang dibuat pimpinan PN Kedah sudah dimuktamadkan.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di Dataran Serambi Malam di sini malam tadi.
#Takiyuddin Hassan #PRU15 #PN Kedah #logo PN
;