PRU15: 'Kami dah undi, mana tanggungjawab YB?' - Warga Sipitang mahu isu air diselesai segera
Hasimi Muhamad
Oktober 26, 2022 12:28 MYT
Oktober 26, 2022 12:28 MYT
BEAUFORT: "Kami sudah jalankan tanggungjawab, sekarang mana tanggungjawab wakil rakyat?"
Demikian persoalan penduduk kampung sekitar Lumadan, Sipitang, yang buntu memikirkan masalah bekalan air bersih yang sehingga kini tidak diselesaikan.
Lebih 3,000 penduduk di tiga buah kampung berkenaan terkesan akibat masalah tersebut.
Derita ketiadaan sumber air itu didakwa ditanggung penduduk di Kampung Jabang, Mentulud serta Kukup sejak lebih 20 tahun lalu.
Apa mereka buat? Terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian. Kalau hendak mandi, sungai berdekatan jadi tempat dituju.
Tiba musim kemarau panjang pula, penduduk terpaksa membeli berkotak-kotak air mineral.
Kadang kala terpaksa mengerah kudrat mengangkat air di Beaufort menggunakan bot.
Bagi warga emas, mereka terpaksa meminta ihsan saudara mara atau orang kampung untuk membantu mendapatkan bekalan air bersih.
Soal mereka, pilihan raya silih berganti, tetapi jawapan kepada masalah ini masih belum pasti.
"Kami menggunakan sumber air hujan. Kalau air sungai, sekarang ini tidak ada erti, sebab sudah tercemar dengan racun.
"Jadi, kalau tiada hujan, habislah, kami pakai air mineral," luah seorang penduduk Kampung Jabang, Pangeran Wahab Pangeran Awang, 71 tahun, kepada Astro AWANI.
"Masalahnya kami macam (orang) asing, macam dianak tiri.
"Jadi, semasa mengundi kami diperlukan. Tetapi, pemimpin-pemimpin sekarang ini macam mana dia punya (tanggungjawab)?
"Kami disuruh datang mengundi, tanggungjawab kami sudah. Tetapi tanggungjawab pemimpin itu mana? Itu yang kami mahu tuntut."
Sementara itu, bekas Ketua Kampung Jabang, Jus Tansir, 59 tahun, mengakui aduan telah dibuat beberapa kali kepada pihak berkaitan.
"Kami selalu buat aduan kepada pihak kerajaan, dan wakil rakyat berganti-ganti, sampai sekarang pun kami salurkan," ujarnya.
Menurut Jus lagi, batang paip sudah dipasang di kampung-kampung berkenaan sejak 2019.
Tetapi, sehingga kini batang paip itu hanya "ertanam" tanpa ada pun setitik air mengalir masuk ke rumah.
Bila ditanya kenapa ini berlaku, penduduk mendakwa ia mungkin kerana pertukaran kerajaan yang menyebabkan ia tergendala.
Dek kerana itu, setiap rumah di kampung berkenaan tidak kurang ada tiga atau empat tangki untuk menadah air hujan.
"Ada juga tangki yang diberikan oleh kerajaan. Kalau boleh, sebelum air ini sampai, kami memerlukan tangki juga untuk penyimpanan stok air kerana sekarang ini kami berjimat.
"Apabila kemarau, penduduk di sini ada tak kurang empat atau lima biji tangki," tambahnya.
Bagi suri rumah pula, ketiadaan air bersih di kediaman menyukarkan aktiviti harian mereka.
Malah, ada yang bimbang terhadap aspek keselamatan kerana perlu mandi di kawasan sungai.
"Kadang-kadang saya pergi ambil air bawah jambatan itu. Memang takut, mungkin ada buaya," akui ibu kepada enam cahaya mata, Semina Majin, 52 tahun.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Kukup, Junia Joal, 58 tahun, berharap isu yang membelenggu penduduk sejak puluhan tahun itu dapat diselesaikan segera.
"Harapan saya tahun ini kami akan minta kepada kerajaan supaya baik pulih (masalah air). Kalau tidak, semua orang kampung ini perlu ambil air jauh.
"Jadi, kalau boleh selesaikan tahun ini. Jangan tahun akan datang. Nanti susah, rakyat bising," katanya.
Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan respons daripada pihak berkaitan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi Parlimen Sipitang dimenangi Datuk Yamani Hafez Musa.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 852 selepas memperoleh 12,038 undi.