PRU15: Jika parti tidak pilih, saya sedia tanding bebas - Syed Abu Hussin

Abd Razak Mohd Ali
September 16, 2022 15:21 MYT
Syed Abu Hussin yakin pada PRU15 kelak, rakyat tidak lagi akan memilih parti, sebaliknya rakyat akan memilih siapa yang berkhidmat. - Fail/BERNAMA
BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal membayangkan kemungkinan untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu atas tiket Bebas sekiranya tidak terpilih mewakili parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam masa sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu turut menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong.
Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau bersedia untuk berunding dengan Pas bagi mengelakkan Parlimen Bukit Gantang terlepas kepada parti yang tidak memberi perkhidmatan baik untuk rakyat.
“Parti kena ikut kekuatan calon, kalau saya kuat saya bertanding. Parti tak boleh ikut apa yang dia fikir.
“Parti mesti tengok siapa yang berpotensi untuk menang,” katanya ketika ditemui dalam majlis sambutan Hari Malaysia dan penyerahan bantuan tong ikan berinsulasi kepada nelayan sempena Merdeka@Parlimen Tahun 2022 di Jeti Sungai Kerang, Sungai Tinggi, Trong, di sini, hari ini.
Syed Abu Hussin yakin pada PRU15 kelak, rakyat tidak lagi akan memilih parti, sebaliknya rakyat akan memilih siapa yang berkhidmat.
“Jadi kalau saya tak ada parti, saya akan bertanding atas tiket bebas… asalkan rakyat bersama dengan saya.
“Yang penting saya nak bagi khidmat. Kalau parti tidak dapat melihat kekuatan siapa yang ada, maka parti buat keputusan yang tak tepat,” ujarnya.
Beliau menjelaskan kesediaannya untuk bertanding di DUN Trong adalah kerana mahu membantu menyelesaikan lebih banyak masalah rakyat, seperti isu tanah, yang tidak dapat dibantunya atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen.
Kerusi Parlimen Bukit Gantang dijangka menjadi antara kerusi yang menjadi rebutan kerana Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad juga dikatakan ingin bertanding di kerusi itu yang pernah dimenanginya pada PRU13.
Pada PRU14, Syed Abu Hussin yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menewaskan Idris sebelum menjadi Ahli Parlimen Bebas dan kemudiannya menyertai Bersatu.
#Syed Abu Hussin #Ahli Parlimen Bukit Gantang #PRU15
;