PRU15: Jawatankuasa negeri DAP diberi masa sehingga 17 Okt untuk serah nama calon - Anthony Loke

Rahimah Abdullah
Oktober 11, 2022 16:05 MYT
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, keputusan mengenai pemilihan calon akan ditentukan Jawatankuasa Lima Orang yang ditubuhkan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR : DAP memberi masa kepada jawatankuasa peringkat negeri sehingga Isnin depan bagi mengemukakan cadangan nama calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk diputuskan di peringkat pusat.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan mengenai pemilihan calon akan ditentukan Jawatankuasa Lima Orang yang ditubuhkan.
"Jadi, Jawatankuasa Lima Orang ini akan menerima cadangan-cadangan berkenaan calon-calon yang akan mewakili DAP dalam PRU15 ini, dan kami telah memberikan tempoh sehingga 17 Oktober ini, iaitu untuk setiap jawatankuasa negeri memberikan cadangan nama calon kepada jawatankuasa.
"Selepas itu, jawatankuasa ini akan bersidang untuk mempertimbangkan cadangan-cadangan daripada jawatankuasa negeri masing-masing, " katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP mengenai PRU15 pada malam Selasa.
Tempoh masa itu diberikan DAP susulan Mesyuarat Khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikah PRU15 yang hanya akan berlangsung kira-kira seminggu lagi.
"Kita ada masa tambahan memandangkan Mesyuarat Khas SPR akan berlangsung pada 20 Oktober. Itu sebab kita beri masa hingga 17 Oktober untuk beri cadangan nama kepada pusat untuk diputuskan," jelasnya.
Katanya lagi, CEC DAP telah memberikan mandat penuh kepada Jawatankuasa Lima Orang untuk membuat keputusan berhubung calon PRU15 yang akan mewakili DAP.
Jawatankuasa Lima Orang itu terdiri daripada beliau sendiri, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng; dan Timbalannya, Gobind Singh; serta dua Naib Pengerusi, M Kulasegaran dan Nga Kor Ming.
#Anthony Loke #DAP #PRU15 #calon pilihan raya