PRU15: Jangan rendahkan martabat calon Wanita - Suraya Yaacob

Bernama
November 11, 2022 16:16 MYT
Datuk Suraya Yaacob berkata setiap pemimpin perlu berhati-hati dalam menyampaikan ucapan mereka kerana pilihan raya bertujuan memilih wakil rakyat dan tidak sepatutnya dilakukan dengan cara menjatuhkan maruah mana-mana golongan. - Gambar fail
PENDANG: Dalam keseronokan menyampaikan ceramah dan ucapan, pemimpin parti politik diingatkan supaya tidak merendahkan-rendahkan kaum wanita yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pendang Datuk Suraya Yaacob berkata setiap pemimpin perlu berhati-hati dalam menyampaikan ucapan mereka kerana pilihan raya bertujuan memilih wakil rakyat dan tidak sepatutnya dilakukan dengan cara menjatuhkan maruah mana-mana golongan.
"Saya dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) kesal dengan ucapan dari seorang pemimpin yang merendah-rendahkan martabat kaum wanita, pemohonan maaf pun tidak akan dapat melenyapkan apa yang telah diperkatakan itu.
"Perlu diingat, wanita juga ada bertanding di beberapa tempat mewakili partinya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kanannya juga seorang wanita," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang pemimpin negeri yang berceramah menggunakan perkataan 'betina' bagi merujuk calon wanita bagi parti lain yang bertanding.
-- BERNAMA
#calon wanita #PRU15 #Suraya Yaacob #calon BN parlimen Pendang
;