PRU15: Jangan percaya dakwaan pakai seluar pendek, selipar tidak dibenar mengundi - SPR

Bernama
November 19, 2022 14:52 MYT
Azmi Sharom (kiri) menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Sultan Alam Shah, Petaling Jaya, hari ini. - Gambar BERNAMA
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak percaya dengan hebahan maklumat mengenai etika pakaian yang menyatakan memakai seluar pendek dan selipar tidak dibenarkan memasuki pusat mengundi.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, pengundi tidak perlu risau kerana isu pakaian yang tular itu adalah berita palsu.
"SPR hanya ada satu peraturan sahaja iaitu tidak boleh pakai baju atau topi yang ada simbol parti politik. Itu sahaja peraturan SPR.
"Semua berita lain yang menyatakan seluar pendek tidak boleh pakai, selipar tidak boleh pakai, itu semua palsu. Kalau was-was, dapatkan penerangan di laman sesawang SPR," katanya ketika ditemui Bernama selepas mengundi dan melakukan tinjauan perjalanan proses pengundian di Sekolah Kebangsaan 2 Sultan Alam Shah, Seksyen 11, di sini hari ini.
Azmi berkata, rakyat Malaysia yang layak mengundi harus datang mengundi mengikut masa yang digalakkan atau datang pada bila-bila masa sebelum 6 petang jika ada urusan lain yang tidak dapat dielakkan.
Beliau berkata, setakat tengah hari tadi, SPR tidak menerima sebarang aduan atau laporan serius mengenai perjalanan PRU15 dan berharap proses pengundian berjalan lancar sehingga pusat mengundi ditutup pada 6 petang ini. - BERNAMA
#PRU15 #hari mengundi #pakai seluar pendek #pakai selipar pergi mengundi
;