PRU15: Jangan pandang rendah PN urus ekonomi - Muhyiddin
Hilmi Malik
November 11, 2022 20:07 MYT
November 11, 2022 20:07 MYT
TANGKAK: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan, kejayaan negara menguruskan krisis ekonomi sebahagiannya adalah daripada usaha kerajaan pimpinannya itu.
Muhyiddin yang juga calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PN bagi Parlimen Pagoh, mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu memandang rendah terhadap keupayaan gabungan itu menangani cabaran ekonomi.
"Jadi tak boleh kata kredit perlu diberikan kepada BN (Barisan Nasional), kerana menteri-menteri ekonomi sebahagian besarnya daripada PN.
"Mereka juga menyumbang dan itu satu petanda bahawa kita (PN) mampu dan berupaya untuk uruskan ekonomi negara," katanya di sini, hari ini.
Tambah bekas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu lagi, adalah tidak adil untuk Perdana Menteri selepasnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mengambil kredit atas perkara itu.
Tegas bekas Perdana Menteri itu lagi, pencapaian itu adalah hasil daripada usaha keras kerajaan PN ketika negara berdepan pandemik COVID-19.
"Ia berlaku selepas langkah-langkah yang kita ambil waktu susah dan kita buka (ekonomi) dalam waktu sesuai supaya ekonomi kita pulih.
"Selepas itu kita galakkan pelaburan masuk, sediakan peluang pekerjaan, kegiatan ekonomi sudah meningkat baru ada pertumbuhan KDNK," katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 14.2 peratus berbanding lima peratus dan 8.9 peratus, masing-masing pada suku pertama dan kedua.