PRU15: Jangan buat polisi dari 'Ivory Tower', pentingkan aspirasi peniaga - FMBA

Firdaus Azil
Oktober 22, 2022 16:14 MYT
Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, sering kali terjadi sebelum ini di mana setiap penggubalan polisi atau dasar berkaitan perniagaan, tidak melibatkan pandangan golongan peniaga.
KUALA LUMPUR: Mana-mana parti politik yang berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan, digesa untuk tidak mengabaikan golongan peniaga.
Pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, sering kali terjadi sebelum ini di mana setiap penggubalan polisi atau dasar berkaitan perniagaan, tidak melibatkan pandangan atau maklum balas golongan peniaga.
Katanya lagi, golongan peniaga seperti FMBA adalah golongan yang berada di lapangan, serta lebih arif tentang selok-belok perniagaan, dan apa yang mereka inginkan ialah suasana perniagaan yang aman dan kondusif.
“Kami memerlukan pemimpin yang mendengar keluhan kami, yang sudi berdialog dengan kami. Kami minta siapa-siapa pun yang menerajui kerajaan, jadi perdana menteri ke, atau parti mana yang menang, kalau nak perkenalkan polisi dan dasar baharu, ambil kira pandangan daripada persatuan.
“Kerana kami sebenarnya adalah di floor, maksudnya kami adalah people on the floor. Jadi kami lebih arif dan tahu tentang apa diperlukan. Dalam kebelakangan ini sejak 10 tahun lalu banyak dasar polisi kerajaan tanpa mengambil kira efek dan impak yang akan terkesan kepada peniaga,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Astro AWANI melalui segmen Malaysia Memilih, awal hari ini.
Abdul Malik berkata, beliau dan sebilangan besar golongan peniaga lain merasakan pembuat dasar atau polisi, khususnya Kerajaan, hanya sekadar melihat dari ‘Ivory Tower’, tanpa memahami sebenar kehendak dan aspirasi golongan peniaga.
“Mungkin mereka tak berapa faham atau kurang pasti, kerana sesetengah itu di Ivory Tower, daripada bangunan tinggi di Putrajaya itu berbeza dengan yang berlaku kepada men on the street.
“Jadi kami juga ingin satu kerajaan yang dapat pikul tanggungjawab sepanjang lima tahun ini. Bukan berpolitik untuk lima tahun. Bagi saya, kita tahu akan ada pilihan raya. Apabila pilihan raya tamat, everybody goes back to work, focus on economy, pentingkan rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu Abdul Malik menegaskan, mana-mana parti politik yang meletakkan kepentingan peniaga secara spesifik dalam manifesto masing-masing, maka ia melahirkan kemungkinan besar untuk disokong golongan terbabit.
“Parti mana yang memberi janji dalam manifesto dia akan selesaikan isu pekerja asing, akan selesaikan isu tentang inflasi, dan kenaikan OPR (kadar dasar semalaman) yang dilihat membebankan kepada rakyat jelata.
“Macam-macam cukai, cukai baharu diperkenalkan pada masa tak sesuai. Kalau ada mana-mana parti buat janji yang akan beri kesan, big advantage kepada parti tersebut,” katanya lagi.
#PRU15 #Abdul Malik Abdullah #FMBA #golongan peniaga
;