PRU15: Jangan ada unsur sabotaj, kepentingan diri - Ismail Sabri
Mohd Zalani Md Atan
Oktober 16, 2022 12:20 MYT
Oktober 16, 2022 12:20 MYT
BERA: Ahli UMNO perlu menolak kepentingan diri dalam menentukan kemenangan dalam Pilihan Raya ke-15 (PRU15).
Menurut Naib Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ahli UMNO mesti bekerja kuat untuk memastikan kemenangan parti dan bukannya ada kepentingan diri sendiri.
Katanya, paling malang jika terdapat unsur-unsur sabotaj kepada calon yang bertanding, kerana sabotaj akan pasti membawa kepada kekalahan dan yang rugi adalah parti.
"Bekerja kuat untuk mempastikan parti menang bukan bekerja kuat untuk mempastikan kita bertanding, mempastikan kita yang menang untuk diri sendiri, tetapi parti, yang itu yang penting.
"Saya ucap terima kasih kepada ramai yang bekerja kuat untuk kemenangan parti. Untuk diri sendiri, berangan-angan sikit-sikit itu boleh, tidak ada masalah tetapi jangan kerana kita nak bertanding, tak dapat bertanding, kita sabotaj kawan yang bertanding itu," katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera pada Ahad.
Tambah Ismail Sabri, sangat tidak patut andai ada dikalangan pemimpin UMNO sendiri yang melakukan sabotaj yang dengan sendirinya tidak menghormati ahli UMNO yang setia kepada parti.
Selepas sesi mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera, Ismail Sabri akan melancarkan Jentera PRU P.090 Bera.