PRU15: Jamal Yunos buat laporan polis poster fitnah tular

Bernama
November 7, 2022 22:35 MYT
Jamal menganggap pemimpin parti politik yang memuat naik gambar beliau dan papan iklan itu adalah bersifat perkauman dan berkempen secara tidak bersih pada PRU15. - Gambar fail
SABAK BERNAM: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos membuat laporan polis berhubung pemimpin politik memuat naik semula poster papan iklan yang digunakan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 2016, di media sosial.
Jamal menganggap pemimpin parti politik yang memuat naik gambar beliau dan papan iklan itu adalah bersifat perkauman dan berkempen secara tidak bersih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Gambar saya itu diambil ketika pihak Suruhanjaya Pilihan Raya hendak menurunkan papan iklan itu kerana ia telah melanggar peraturan pilihan raya, malah ada pemimpin DAP yang telah mengaku mereka yang sebenarnya menaikkan papan iklan," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, di sini, hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] Gelanggang PRU15 sudah dibuka, calon penuh ada di sini
RUJUK SENARAI CALON PRU15 DI SINI
Sementara itu peguam beliau, Datuk Mohd Imran Tamrin, berkata laporan polis berkenaan dibuat terhadap pemimpin politik berkenaan kerana hantaran di laman sosialnya adalah berniat jahat dan boleh menggugat keselamatan Jamal ketika beliau berkempen pada PRU15.
Sehubungan itu beliau mahu pihak polis bertindak tegas dan menyiasat perkara berkenaan mengikut Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan (Akta 574) selain Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Terdahulu, tular pemimpin politik memuat naik semula poster papan iklan yang berbaur rasis digunakan dalam kempen PRK Parlimen Sungai Besar di laman Twitter.
Semalam, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Agus Salim Mohd Alias, berkata polis telah membuat semakan berhubung poster dimuat naik tersebut dan satu kertas siasatan juga telah dibuka pada Jun 2016 berkaitan isu itu.
-- BERNAMA
#PRU15 #Calon BN #Jamal Yunos #laporan polis
;