PRU15: Jadi calon Mersing, Syukri sedia galas tugas jika diberi kepercayaan

Hilmi Malik
Oktober 23, 2022 06:40 MYT
Muhammad Syukri (kiri) dan Alwiyah antara calon-calon yang disebut bakal bertanding di kerusi Parlimen Mersing pada PRU15 kali ini. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Parlimen Mersing dijangka menjadi tumpuan hangat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini apabila wujud desas desus mengatakan Muhammad Syukri Ibrahim bakal bertanding di kerusi tersebut.
Syukri yang juga merupakan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dikatakan menjadi perbualan kepimpinan UMNO Pusat untuk menempatkan beliau di Parlimen berkenaan.
Sementara itu, Syukri yang dihubungi Astro AWANI menyatakan akan cuba buat yang terbaik sekiranya diberi peluang untuk bertanding.
“Jika diberi kepercayaan oleh kepimpinan parti, saya akan galas sebaiknya untuk menyumbang satu kerusi bagi membentuk kerajaan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Presiden Ikatan Anak Mersing serta ahli UMNO Bahagian Mersing itu juga dikatakan aktif melaksanakan program anak muda di kawasan itu.
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!
Selain beliau, wujud juga cakap-cakap yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib yang dikatakan turut bakal berentap di kerusi terbabit.
Alwiyah sebelum ini menang di Endau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu dengan majoriti tinggi dalam pertembungan empat penjuru.
Bagaimanapun perkara itu masih belum dapat disahkan sepenuhnya bagi menentukan siapa yang bakal mengambil alih tugas penyandangnya ketika ini, Datuk Abdul Latiff Ahmad (Bersatu) yang bersedia untuk memberi laluan kepada muka baharu.
#Malaysia Memilih #PRU15 #Muhammad Syukri Ibrahim #kerusi Parlimen Mersing