PRU15: Jabatan Imigresen lakukan tambah baik, lancarkan rakyat Malaysia pulang mengundi

Siti Nur Aqilla Omar
November 9, 2022 13:24 MYT
Mengikut statistik pergerakan keluar masuk di BSI sejak 1 Januari hingga 31 Oktober lalu, seramai 34,114, 197 individu direkodkan. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen tidak menjangkakan akan berlaku kesesakan luar biasa di dua pintu masuk negara di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutamanya bermula antara 16 hingga 19 November ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, ia susulan pelbagai penambahbaikan yang telah dilakukan secara berfasa sejak tahun lalu.
Katanya pihaknya juga bersedia dalam menerima dan menguruskan kemasukan rakyat negara ini yang bekerja di Singapura untuk pulang, dengan menempatkan 1,200 pegawai imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan 670 Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
"Ini pandangan saya, saya tidak jangka akan berlaku peningkatan yang begitu ramai seperti semasa perayaan Deepavali kerana perayaan itu melibatkan warga asing iaitu warga Singapura yang turut masuk ke sini.
"Tetapi, untuk tujuan mengundi ini, hanya melibatkan rakyat Malaysia dan kebanyakan mereka yang bekerja di Singapura melakukan perjalanan harian iaitu 200,000 orang di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan kira-kira 100,000 orang di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
"Kami sudah mengambil tindakan persediaan sejak beberapa minggu yang lalu dan kami sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menguruskan rakyat Malaysia untuk pulang mengundi yang mana dijangka akan bermula 16 November ini sehingga 19 November ini," katanya ketika sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), BSI di sini, hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Hanya tinggal janji Ismail Sabri sebagai PM - Dr Mahathir
SEMAK CALON PRU15 DI SINI!
Turut hadir, Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir.
Khairul Dzaimee berkata, di BSI, penambahbaikan dilakukan di semua laluan masuk bas, kereta dan motosikal.
"Bagi laluan bas, sebanyak 20 'autogate' atau e-gate yang berusia 10 tahun akan digantikan dengan 'autogate' yang baharu yang mana daripada jumlah itu, 14 sudah siap dipasang dan enam lagi dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada 15 November ini.
"Bagi laluan masuk kereta dari Singapura ke Malaysia, tambah baik kaunter sedang diambil yang mana antaranya kita menggabungkan dua kaunter yang sebelum ini diasingkan untuk pemeriksaan Imigresen dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JP) dan PLUS.
"Hasil penggabungan ini, kecekapan trafik dapat ditingkatkan yang mana kecepatan masa sebanyak antara 10 hingga 11 saat dapat dijimatkan bagi sebuah kenderaan.
"Manakala, bagi laluan motosikal atau zon MBike, 45 kaunter laluan automatik dan lima laluan manual sudah siap diselenggara dan dalam keadaan yang baik," katanya.
Selain itu, Khairul Dzaimee berkata, bagi persediaan di KSAB, 24 kaunter beroperasi dengan baik dan pihaknya turut mewujudkan 12 kaunter kontra yang akan digunakan jika berlaku kesesakan di luar dugaan.
"Pengguna boleh menggunakan kereta api dari Woodlands ke BSI yang mana urusan pasport dibuat di Woodlands. Mereka tidak perlu berbaris dan boleh terus turun di BSI dan teruskan perjalanan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab beberapa persoalan atau kebimbangan sesetengah pihak sebelum ini yang mendakwa bakal mengalami kesukaran untuk pulang ke Malaysia untuk mengundi kerana mungkin berdepan dengan kesesakan di pintu-pintu masuk utama.
Mengikut statistik pergerakan keluar masuk di BSI sejak 1 Januari hingga 31 Oktober lalu, seramai 34,114, 197 individu direkodkan, yang mana dari jumlah itu 26,381, 918 individu adalah warga Malaysia.
Manakala dalam tempoh sama di KSAB, terdapat 16,073,653 individu masuk dan keluar dari pintu masuk berkenaan. Dari jumlah itu 13,192,768 adalah warga Malaysia.
#PRU15 #jabatan imigresen #Khairul Dzaimee Daud #pulang mengundi
;